Pertarungan antara Zahid Hamidi dan Annuar Musa berterusan

PasLeak: Jangan derhaka pada parti tanpa parti tiada jawatan menteri, kata Zahid kepada Annuar

NASUHA RAHMAN

“Apakah kandungan ‘PasLeak’ dianggap bukan luar biasa? soal Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berikutan Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan dokumen ‘PasLeak’ bukan sesuatu yang luar biasa dan tidak perlu diperbesarkan.

Menurut Zahid, ahli parti yang setia akan memastikan keutamaan parti sendiri adalah nombor satu manakala kepedulian parti luar lebih-lebih lagi yang telah mengkhianati muafakat parti tidak wajar diberikan tempat dalam keutamaan parti.

“Sekali kita bersetia, janganlah berderhaka kepada parti. Tanpa parti tiadalah jawatan Menteri atau lantikan politik

“Tepuk dada tanya selera!” katanya.

‘Pas Leak’ didakwa mengandungi perancangan sulit untuk menjatuhkan pemimpin Umno tular di media sosial sebelum ini.

Ia adalah beberapa keratan didakwa minit mesyuarat Pas yang menggariskan pelan untuk menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional (BN) termasuk rancangan menyegerakan usaha untuk memasukkan Ahmad Zahid ke penjara.

Zahid juga berkata, ahli parti yang setia akan sentiasa berwaspada setiap kenyataan, setiap langkah, pendirian dan tindak tanduk pemimpin mereka dan pemimpin lawan mereka.

“Ketika musuh luar parti bermuslihat dan dengan licik cuba memperdaya parti lawan menggunakan pelbagai taktik dan strategi, kita sebagai orang parti dari ahli biasa ke peringkat bahagian parti perlu lebih bijaksana dalam membaca gerak geri lawan.

“Jangan pula tindak tanduk kita umpama musuh parti luar yang sama menari ikut rentak mereka,” katanya.

Bagaimanapun, katanya sekali dua kenyataan bertentangan dengan dasar parti dapatlah dianggap kebetulan, namun sudah beberapa kali itulah namanya bukan kebetulan lagi

“Semoga ahli parti terus merapatkan barisan, mengukuhkan kesiapsagaan dan menolak musuh parti,” ujarnya lagi.

Terdahulu Annuar Musa menyifatkan dokumen ‘PasLeak’ yang didakwa mengandungi perancangan sulit untuk menjatuhkan pemimpin Umno bukan sesuatu yang luar biasa dan tidak perlu diperbesarkan.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata berdasarkan pemahamannya setelah meneliti dokumen itu, ia hanyalah catitan pemimpin Pas dalam mencari fakta mengenai pandangan beberapa pemimpin parti lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan