SITI NUR ZAWANI MISCON
Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa hari ini telah mengarahkan peguamnya untuk memfailkan permohonan mengetepikan saman yang difailkan syarikat Al Dar Resouces Sdn Bhd dan pemiliknya, Mohd Hafiz Mohd Rasdin.
Menurut Husam, tindakan saman yang dikemukakan terhadapnya adalah pra-matang memandangkan siasatan oleh Jabatan Perhutanan Kelantan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas isu penebangan balak secara haram di kompartmen 25 dan 26 Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri, adalah belum lagi konklusif.
Sementara itu Husam menegaskan saman tersebut boleh disifatkan ibarat menggantung diri plaintif itu sendiri dan boleh menjadi pisau bermata dua.
“Insya-Allah saya bertanggung jawab di atas dakwaan dan pertanyaan saya berkaitan kes kecurian balak di kompartmen terbabit, termasuk dua rencana yang dirujuk.
“Saya juga tidak akan berganjak dalam usaha saya menjaga kepentingan rakyat dan negeri Kelantan dan memastikan semua pihak yang terlibat di bawa ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara Husam memberitahu, dia hanya menerima writ saman dari Tetuan Syazwan Hasim & Azeel Eskandar yang mewakili Encik Mohd Haffiz Mohd Rasdin pada petang 26 Jun 2022, melalui serahan tangan kepada pembantu rumah beliau.
“Saya telah mengarahkan peguam saya memfailkan permohonan untuk mengenepikan saman ini kerana ia merupakan penyalahgunaan proses mahkamah dan cubaan untuk menghalang terdedahnya kegiatan yang menyalahi undang-undang pihak yang masih belum ditentukan terlibat dalam kes kecurian balak di kompartmen 25 HSK Nenggiri,” jelas Husam.
Terdahulu, dua saman dibuat oleh plaintif, Al Dar Resources yang menuntut ganti rugi RM50 juta dan pemilik syarikat berkenaan, Mohd Haffiz yang menuntut ganti rugi RM10 juta.
Tuntutan saman terbabit dibuat menerusi Tetuan Syazwan Hasim & Azeel Eskandar di Mahkamah Tinggi pada Selasa lalu dengan menamakan Husam Musa sebagai defendan.
Peguamnya, Azeel Eskandar Azmi berkata, saman terbabit dibuat susulan dua kenyataan yang dikeluarkan oleh Husam menerusi Facebook pada 3 dan 6 Jun lalu, yang disifatkan memfitnah syarikat anak guamnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan