Selamba tangkap buaya seorang diri

Hmetro 

Agensi

USMAN (duduk, tiga dari kiri) menangkap buaya gergasi seorang diri. - Foto Kompas

USMAN (duduk, tiga dari kiri) menangkap buaya gergasi seorang diri. - Foto Kompas

Jakarta: Lelaki berusia 53 tahun dikenali Usman yang juga penduduk kampung di Lasalimu Selatan, Buton, Sulawesi Tenggara, Indonesia dilaporkan menangkap seekor buaya besar seorang diri.

Portal Kompas melaporkan kejadian berlaku pada Sabtu lalu selepas Usman ternampak buaya berkenaan.

Tanpa gentar Usman mengikat beberapa bahagian tubuh buaya dengan menggunakan tali.

"Saya ternampak ada buaya besar di kebun ini. Kebetulan ada tali, jadi saya ikat ekor (buaya itu) di pokok kelapa," katanya.

Usman kemudian mencari tali lain dan mengikat bahagian kepala buaya itu.

Beberapa penduduk yang ada di situ hanya melihat tindakan Usman dan merakam video aksi lelaki menangkap buaya berkenaan.

Dalam tempoh kurang sejam, buaya itu berjaya ditangkap.

Menurut Usman, buaya itu berada di sekitar kawasan kebun penduduk kerana dibawa arus banjir yang terjadi beberapa hari lalu.

"Beberapa hari yang lalu, di kebun ini, semuanya penuh dengan air (banjir). Jadi, ia menjadi habitatnya (buaya)," katanya.

Difahamkan, buaya itu sepanjang 4.3 meter dengan berat kira-kira 1,000 kilogram.

Usman berkata, kemunculan buaya di kebun penduduk adalah kerana lokasi itu berhampiran sebuah sungai yang menjadi habitat buaya.

Seorang penduduk bernama Izwar menjadi salah seorang individu yang menyaksikan Usman menangkap buaya seorang diri.

"Dia ambil tali dan sampaikan kepada yang lain untuk menghalang buaya supaya tidak bergerak ke sungai. Dia ikat buaya itu seorang diri," kata Izwar.

Tidak lama kemudian, petugas dari Balai Konservasi Sumber Daya Alam (BKSDA) Sulawesi Tenggara, datang ke lokasi kejadian.

Buaya itu kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan