Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Pemuda dan remaja perempuan bawah umur ditemui maut dalam kereta di kompleks pentadbiran di Lubok China di sini, pagi tadi.
Identiti kedua-duanya berusia 20 tahun dan 16 tahun belum dikenal pasti.
Sehingga kini, pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka masih melakukan siasatan lanjut di lokasi.
----------
Tak sedap hati hantar rakan jumpa teman lelaki
Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Gerak hati seorang remaja perempuan yang curiga selepas menghantar sahabatnya berjumpa seorang lelaki petang semalam, menjadi kenyataan apabila rakan sekolahnya itu ditemukan mati di dalam sebuah kereta pagi tadi.
Remaja dikenali sebagai Damia, 16, berkata, kali terakhir mereka bertemu ketika mangsa meminta dihantar ke kompleks Jawatankuasa Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Limau petang semalam untuk bertemu pemuda dipercayai teman lelakinya.
Menurutnya, selepas menghantar dia berasa tidak sedap hati sehinggalah dihubungi kakak sahabat baiknya itu kira-kira 8.30 pagi memaklumkan mangsa tidak pulang sejak semalam.
"Saya bergegas ke Japerun untuk mencarinya dan sebaik tiba saya dapati kereta Perodua Kancil yang dinaiki pemuda itu masih berada di lokasi, namun ditutup kain kanvas.
"Saya segera menyelak kain kanvas itu dan melihat kedua-dua mereka tidak sedarkan diri lalu menghubungi kakak mangsa," katanya di temui di lokasi.
Menurut Damia, tidak menyangka semalam adalah kenangan terakhir mereka bersama dan sempat membawa mangsa bersiar-siar dengan menunggang motosikal.
Sementara itu, bapa saudara remaja lelaki itu berkata, mangsa adalah anak sulung kakaknya daripada enam beradik dan seorang yang pendiam namun mempunyai ramai kenalan.
Menurutnya, mangsa adalah bekas penuntut sebuah akademi laut di Kelantan dan bakal bekerja dalam bidang perkapalan.
"Dalam dua minggu lagi dia bakal bekerja kapal mengikut jejak ayahnya yang juga bekerja dalam bidang sama.
"Ibunya beritahu sebelum kejadian iaitu selepas asar, arwah ada meminta izin menggunakan kereta bapanya untuk pergi ke pantai, tidak sangka ini yang berlaku," katanya ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.
Menurutnya, mereka sekeluarga difahamkan siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah atau tanda kedua-dua mangsa melakukan perkara sumbang di dalam kenderaan itu.
Katanya jenazah anak saudaranya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru.
Sementara itu, ibu mangsa enggan ditemubual kerana masih terkejut dan amat bersedih dengan kejadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan