Bersatu tiada kekuatan, hidupkan semula MN untuk rampas Selangor, gesa perwakilan
Nora Mahpar
Perwakilan PAS yang ditemui di Muktamar PAS ke-68 baru-baru ini masih menaruh harapan kerjasama Umno dan PAS menjelang PRU15.
ALOR SETAR: Bersatu perlu “mengalah” dengan hanya bertanding di sebilangan kecil kerusi di Selangor bagi menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) dan meningkatkan peluang merampas pentadbiran negeri paling maju itu.
Ia dicadangkan perwakilan PAS ditemui FMT di Muktamar PAS ke-68 yang masih menaruh harapan kerjasama Umno dan PAS menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15), susulan pertikaian tercetus disebabkan Bersatu yang menjadi duri dalam daging dalam hubungan berkenaan. Mereka mencadangkan majoriti kawasan dibahagikan antara Umno dan PAS sesuai dengan kekuatan jenteranya yang besar dan sudah lama bertapak.
Yang Dipertua PAS Sabak Bernam Sallehen Mukhyi berkata mengikut senario di Selangor, satu-satunya cara menewaskan PH dengan sekurang-kurangnya majoriti mudah adalah menerusi penyatuan Umno, PAS dan Bersatu yang sedia dilaksanakan akar umbi.
Menurutnya, perkara itu turut diakui Pengerusi Umno Selangor Noh Omar dalam beberapa kenyataannya yang cenderung bersama PAS, dan pada masa sama memberi ruang kepada Bersatu kerana merasakan tidak cukup yakin sekiranya Umno bergerak solo.
“Kalau diberi pilihan di Selangor, kita nak ketiga-tiga sekali. Lupakan dulu sengketa dan cuma beri beberapa tempat kepada Bersatu sementara yang lain bahagi antara Umno dan PAS.
“Mungkin kita (PAS) juga tidak perlu banyak kerusi. Saya rasa macam Bersatu pun kena sedar kekuatannya,” katanya yang menolak idea bekerjasama dengan PH seperti dicadangkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, dan jajaran baharu hendak dibuat Umno berdasarkan kerusi dimenanginya pada PRU15 nanti.
Sallehen adalah bekas Pesuruhjaya PAS Selangor dan bekas exco kerajaan negeri ketika era pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) iaitu gabungan PAS, PKR dan DAP sebelum mereka berpecah pada pilihan raya umum 2018 .
Seorang perwakilan dari Petaling Jaya yang hanya mahu dikenali sebagai Razali senada dengan Sallehen dan berpendapat gabungan Umno dan PAS di bawah MN serta Bersatu boleh memberi kemenangan sekurang-kurangnya majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Selangor.
Beliau menyifatkan kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mahu bergerak solo sebagai wayang apabila Noh, pemimpin Umno negeri masih menaruh harapan terhadap MN kerana sedar peluang BN menang agak tipis.
“Bersatu di Selangor tiada kekuatan pun, kalau kata menumpang marah pula nanti. Contoh di kawasan kami, mereka tiada cawangan tetapi kita ambil pendekatan saling membantu sebab sudah berkawan,” katanya yang mengakui ada rundingan dengan Bersatu supaya berkompromi dan memberi laluan kepada Umno untuk menjayakan kerjasama itu.
Pada 7 Mei lalu, Noh dilaporkan berkata Umno dan PAS mesti bekerjasama menerusi MN untuk merampas semula Selangor, yang disasar mampu memenangi lebih daripada 30 kerusi DUN. Bagaimanapun pada 8 Jun, beliau mengesahkan formula agihan kerusi antara Umno dengan PAS negeri tidak lagi terpakai susulan penyertaan PAS ke dalam Perikatan Nasional (PN).
Pada pilihan raya umum 2018, PH menguasai 50 daripada 56 kerusi DUN Selangor, namun jumlah itu berkurangan kepada 40 selepas ‘Langkah Sheraton’ dua tahun kemudiannya yang menyaksikan Bersatu keluar dari gabungan itu.
Beberapa wakil rakyat turut keluar parti seperti bekas menteri besar Azmin Ali (Bukit Antarabangsa) yang menyertai Bersatu dari PKR. Lima ADUN PH turut menyertai Pejuang, Parti Bangsa Malaysia (PBM), Warisan manakala seorang menjadi wakil rakyat bebas.
Komposisi baharu pembangkang meliputi Barisan Nasional (lima) , Bersatu (empat), PBM dan Pejuang masing-masing dua serta satu kerusi untuk PAS, Warisan dan bebas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan