Skuad Khas Harian Metro
HAMPIR keseluruhan premis dan gerai di Lorong Haji Taib ‘dijaga’ oleh warga asing.
Kuala Lumpur: Dahulunya Lorong Haji Taib, dekat Chow Kit di sini, terkenal dengan jolokan sebagai tempat aktiviti yang tidak bermoral seperti pelacuran, penagihan dadah dan gangsterisme terutama pada waktu malam.
Namun kini suasana itu berubah apabila ia dilihat mula dimonopoli oleh warga Bangladesh dengan menjalankan perniagaan barangan terpakai.
Bermula jam 3 petang, mereka mula sibuk membuka khemah untuk menjual barangan terpakai seperti pakaian, kasut, dan barangan kulit di sepanjang lorong berkenaan.
Berdasarkan tinjauan Harian Metro mendapati kumpulan itu bukan saja diupah oleh peniaga tempatan untuk bekerja, malah ada antara mereka yang menjalankan perniagaan itu sendiri.
Menguatkan lagi dakwaan gerai berkenaan dimiliki warga asing apabila tiada lesen perniagaan digantung pada gerai seperti di gerai yang dimiliki peniaga tempatan, selain dikendalikan golongan pendatang itu sepenuh masa.
Ketika disapa wartawan di sebuah gerai menjual pakaian terpakai, seorang lelaki Bangladesh mendakwa hanya bekerja dan bukan pemilik perniagaan berkenaan.
"Saya hanya kerja saja di sini. Tauke (majikan) orang tempatan. Setiap hari kami akan buka kedai. Saya tidak boleh buka perniagaan sendiri kerana tiada modal," katanya.
Ia turut diakui seorang lagi lelaki warga Bangladesh yang mendakwa hanya bekerja dengan majikan tempatan sebagai jurujual kasut terpakai.
Katanya, dia membuka gerai setiap hari berikutan sambutan orang tempatan terhadap barang terpakai itu masih menggalakkan, terutamanya pada malam minggu dan cuti umum.
Barangan terpakai seperti pakaian, kasut dan barang kulit itu dijual pada harga antara RM30 sehingga lebih RM100.
Harian Metro turut melakukan tinjauan pada hari kedua bagi mendapatkan gambaran lanjut dan mendapati keadaan masih sama dengan hampir keseluruhan gerai dibuka dan 'dijaga' oleh warga asing terbabit.
Seorang tukang jahit warga Bangladesh yang ditemui mendakwa mengambil upah menjahit dan mengubah suai pakaian dibeli pelanggan di kawasan itu.
"Setiap pakaian yang diubah suai dikenakan caj RM5. Ada juga pelanggan datang ke sini membawa pakaian dari luar untuk diubah suai saja.
"Saya terpaksa guna mesin jahit tradisional kerana mudah alih disebabkan sini hanya gerai sementara yang boleh dibuka pada waktu petang hingga 11 malam saja," katanya yang turut mendakwa mula bekerja di kawasan itu awal tahun ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan sekiranya mendapat aduan daripada orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan