Takiyuddin: PAS kaji dulu sebelum muktamad keputusan kerjasama dengan Umno

FMT Reporters

PETALING JAYA: PAS mengambil kira aspek maslahah yang lebih besar serta “mudhorat” (risiko) yang paling ringan sebelum membuat sebarang keputusan untuk bekerjasama dengan Umno dan memulihkan Muafakat Nasional (MN).

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, PAS menyambut baik kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang menzahirkan keterbukaan memulihkan Agenda Penyatuan Ummah selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

“PAS mengulangi komitmen untuk bersama dalam segala usaha ke arah mencapai hasrat penyatuan ummah terutamanya di kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam.

“PAS mengambil sikap mengkaji secara mendalam keterbukaan Umno dalam hal ini dan akan membuat keputusan muktamad sebelum hujung minggu ini dengan mengambil kira aspek maslahah yang lebih besar serta mudhorat (risiko) yang paling ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, FMT melaporkan, PAS mengingatkan Umno supaya tidak meletakkan syarat ‘Puteri Gunung Ledang’ sekiranya ingin bekerjasama.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sekiranya Umno meletakkan syarat “berat” itu, ia tidak akan memenuhi hasrat yang sama.

“Kita seboleh mungkin kalau boleh nak pakat tiga parti dan kita pun tahu, dua parti bagus, tapi tiga (parti) lagi bagus, kita kena ambil yang terbaik,” katanya dalam sidang media selepas Ceramah Jentera PAS Selangor yang disiarkan secara atas talian.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas tiga tuntutan dikemukakan Umno jika mahu menjalinkan kerjasama politik bagi berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum itu berkata tiga tuntutan tersebut adalah keluar daripada Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka “mufarakah” (berpisah) 100% daripada PN dan Bersatu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan