Malaysiakini
Penyandang kerusi parlimen Arau, Shahidan Kassim, malam ini mengejutkan ramai apabila mengumumkan semua bilik gerakan BN di kawasan itu ditutup.
Tidak cukup dengan itu dia - yang dilantik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini - memberitahu semua bendera parti diturunkan pada "malam kesedihan yang teramat sangat" itu.
"Malam ini malam kesedihan yang teramat sangat.
"Semua bilik gerakan BN di parlimen Arau telah ditutup dan bendera telah diturunkan.
"Kali pertama dalam sejarah," umumnya di media sosial.
Meskipun tidak dinyatakan dengan jelas, dipercayai langkah tersebut diambil Shahidan terkait dengan pemilihan calon untuk bertanding dalam PRU akan datang.
Sebelum ini ada khabar angin mendakwa bekas menteri besar Perlis itu adalah antara nama yang tidak dicalonkan semula oleh Umno dalam PRU pada 19 Nov ini.
Sementara itu seorang lagi anggota kabinet yang dilihat selalu tidak sehaluan dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, turut menyatakan rasa kurang senangnya terhadap perkembangan semasa parti itu.
Bekas setiausaha agung Umno itu berkata bakal calon BN sudah dibawa menandatangani dokumen dan aku janji tertentu sejak dua hari lalu. Ia, katanya, mendorong tercetusnya pelbagai khabar angin.
Penyandang kerusi parlimen Ketereh itu turut membayangkan dia tidak termasuk dalam kalangan bakal calon yang dibawa membuat ikrar tersebut.
Nampaknya, walau perlembagaan (Umno) menghuraikan dengan jelas skop dan kaedah pemilihan calon, nampaknya sekali lagi ia tidak diendahkan.
"Dijanjikan juga top five diberi kuasa merundingkan (calon) bagi pihak majlis kerja tertinggi yang berkuasa memilihnya, namun ahli top five mengesahkan list (senarai) itu ditapis lagi oleh high up (pihak atasan).
"Proses sedang berjalan," katanya dalam hantaran di media sosial malam ini.
Pembangkang - khususnya Pakatan Harapan - sudah mula mendedahkan barisan calon mereka untuk pelbagai peringkat, khususnya melibatkan pemimpin kanan masing-masing.
Parti yang lebih kecil seperti Gerakan Tanah Air juga tidak terkecuali.
Bagaimanapun BN dijangka mengumumkan calon masing-masing pada malam esok.
Boleh berkubur dua kali
Annuar adalah antara penyandang kerusi parlimen yang dilihat kritikal terhadap kepemimpinan Presiden Umno merangkap Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.
Untuk rekod, untuk membolehkan seseorang ahli parti menjadi calon, individu terbabit perlulah mendapakan watikah daripada presiden parti.
Sejak sehari dua ini, tersebar khabar yang mendakwa Annuar adalah antara nama yang tidak lagi dicalonkan oleh Umno.
Menurut Annuar, janji Umno untuk mengutamakan calon yang memiliki ciri-ciri Wali (winnable atau boleh menang, acceptable atau boleh diterima dan likeable - disukai) tidak lagi diendahkan.
"Namun kedengaran di sana sini banyak sudah winners dipancung, terutama yang dekat dengan PM (Ismail Sabri Yaakob). Tapi itu rumours yang tidak semestinya tidak berasas," katanya lagi.
Secara berlapik, Annuar juga mengingatkan partinya agar berhati-hati menyusun langkah serta adab seseorang yang tidak boleh meminta-minta untuk dicalonkan.
"Tak perlulah melobi-lobi. Ia satu amanah, tanggungjawab untuk memenangkan cukup kerusi bagi parti.
“Jika tidak, (parti) berkubur dua kali," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan