FMT Reporters
PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Batu, P Prabakaran, mendedahkan Tian Chua menuntutnya memulangkan semula watikah pencalonan kepada jawatankuasa pilihan raya gabungan itu.
“Saya tolak saranan itu. Dia (Tian Chua) ada bercakap dengan presiden PKR (Anwar Ibrahim) tapi saya tidak tahu apa yang mereka bincangkan.
“Tapi, akhirnya Tian Chua memilih untuk menjadi calon bebas. Saya tidak pernah melihatnya sebagai musuh,” katanya menurut Sinar Harian.
Prabakaran ketika mengulas lanjut, berkata tindakan bekas naib presiden PKR itu bertanding bebas di kawasan berkenaan akan mencetuskan kekeliruan dalam kalangan penyokong PH.
“Saya bersyukur Tian Chua menyokong saya selama ini (sejak 2018), tetapi sedih beliau memilih untuk lawan saya dan ingkar arahan parti kali ini,” katanya.
Katanya, itu akan merisikokan kekalahan PH dan menyebabkan calon BN mempunyai peluang untuk menang.
“Tian Chua masih ada masa untuk tarik balik pencalonan. Ini bukan pasal beliau atau saya tapi untuk membentuk kerajaan yang stabil,” katanya.
Kerusi Parlimen Batu menyaksikan pertembungan 10 penjuru membabitkan calon penyandang, Prabakaran, pempengaruh media sosial yang juga ahli perniagaan Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin (bebas), peguam Siti Kasim (bebas) serta calon Pejuang, Wan Azliana Wan Adnan.
Beberapa nama lain turut bertanding termasuk calon BN, A Kohilan Pillay, Azhar Yahya (Perikatan Nasional), P Naganathan (Warisan), Too Cheng Huat (bebas) dan Zulkifli Abd Fatah (Parti Rakyat Malaysia).
Pada PRU14 lalu, Prabakaran bertanding atas tiket bebas menang kerusi itu selepas mendapat 38,125 undi iaitu majoriti 24,438 undi menewaskan tiga lagi calon lain termasuk Presiden Gerakan Dominic Lau (13,687 undi); wakil PAS, Azhar Yahya (10,610) dan VM Panjamothy (bebas).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan