Haspaizi Zain
'Kewartawanan rakyat' semakin aktif apabila keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 gagal menghasilkan pemenang utama sekali gus membentuk kerajaan secara bersendirian.
Ia kemudian mengundang rasa gelisah orang ramai terhadap kemungkinan berlakunya suasana politik yang tidak stabil sekali lagi.
Keadaan itu pernah melanda negara apabila Langkah Sheraton berlaku sehingga menyaksikan jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) di sebalik mandat yang diterima parti gabungan tersebut dalam PRU ke-14.
Beberapa hari selepas PRU ke-15 berakhir, kerajaan baru masih belum ditubuhkan. Masyarakat pula gelisah dengan pelbagai naratif yang dibawa pelbagai pihak.
Pemerhati politik dari Universiti Malaya (UM), Awang Azman Awang Pawi, berkata rakyat sebenarnya mahu melihat kerajaan yang dibina sekarang stabil, bukannya pengulangan drama politik seperti sebelum ini.
"Sejak Langkah Sheraton, kalau ada pertemuan-pertemuan tertentu, selepas episod-episod perjumpaan sehingga membawa kepada kejatuhan PH, ini menjadi trauma kepada masyarakat Malaysia.
"Juga pada masa sama rakyat tidak mahu ini berlaku lagi.
"Sebab itu perjumpaan orang politik menjadi perhatian ramai dan mereka tidak mahukan langkah sebegitu berlaku lagi kerana boleh menyebabkan ketidakstabilan politik.
"Oleh itu kewartawanan rakyat mulai tercetus bagi menjaga kestabilan politik negara," katanya kepada Malaysiakini.
Beberapa hari lalu masyarakat dikejutkan dengan kemunculan sejumlah pemimpin politik di sebuah kelab golf di Petaling Jaya, Selangor. Mereka termasuk dalam kalangan ahli parlimen BN dan PAS.
Pertemuan yang berlangsung selepas sehari Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai perdana menteri itu turut dihadiri bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Bagaimanapun Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno menafikan terdapat pertemuan tertutup yang melibatkan pemimpin BN dan PAS.
Berhati-hati buat pertemuan
Menjelaskan perkara itu, Ismail Sabri menyifatkan segala tindakannya kini disalah tafsir, sehingga dia dianggap pengkhianat jika bertemu dengan rakan dari PAS sementara pihak yang bertemu dengan pimpinan dari Pakatan Harapan (PH) dianggap hero.
“Tak betul (pertemuan tersebut). Mana ada perjumpaan melibatkan 10 orang tu. Tengok senarai nama tu lima orang saja. Ini semua fitnah jahat untuk merosakkan nama saya.
“Hari ni nak jumpa kawan-kawan pun tak boleh. Jumpa kawan PAS (dianggap) jadi pengkhianat, jumpa orang PH jadi hero penyelamat parti. Semua orang dah gila,” katanya kepada Malaysiakini.
Pemerhati politik dan juga geostrategis, Azmi Hassan, pula berpendapat ketika sokongan BN terhadap pembentukan kerajaan perpaduan dengan PH berbelah bahagi, pertemuan di Tropicana itu tidak sepatutnya berlaku.
Katanya, jika pihak terbabit mahu mengadakan pertemuan ia perlu diadakan dengan berhati-hati agar tidak mengundang kebimbangan atau khabar yang tidak sahih.
"Pertemuan sebegitu boleh dilakukan tetapi perlulah secara tertutup supaya tidak timbul desas-desus.
“Sesuatu langkah itu adalah hak orang politik, itu yang setengah itu datangnya trauma.
"Sebaik-baiknya biarkan lah kerajaan Anwar berfungsi dahulu, tidak perlu keluarkan persepsi negtif yang akhirnya kita trauma," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan