Fahmi: Polis digesa siasat Sanusi atas dakwaan politik wang

 FMT Reporters

PETALING JAYA: Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil menggesa polis menjalankan siasatan terhadap Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor susulan kenyataan menjurus politik wang yang dikeluarkannya dalam satu ceramah kempen.

Ceramah itu yang dirakam dan dimuatnaik di Tik Tok adalah berkenaan rungutan segelintir pengundi di media sosial apabila mereka tidak mendapat elaun untuk mengundi.

Fahmi yang juga ketua komunikasi Pakatan Harapan (PH) berkata, rakaman video berkenaan menunjukkan dan menggambarkan seolah-olah pengundi di Kedah pada pilihan raya umum yang lalu diberi ganjaran atas undi mereka.

“Mereka diberi ganjaran RM50, RM100 dan sebagainya, atau ia cuba dilindungi sama ada sebagai dana untuk balik (mengundi).

“Tapi ia berulang dalam konteks pilihan raya kecil Padang Serai, saya percaya kenyataan beliau (Sanusi) ini, sangat bahaya dan wajar disiasat polis dan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) kerana yang saya risaukan adalah politik wang semakin menjadi-jadi dan seakan dihalalkan dengan terma dan takrif.

“Kita tahu ia adalah satu bentuk sogokan supaya pengundi memilih sat-satu parti jadi saya mohon pihak berkuasa ambil tindakan segera menyiasat Sanusi mengenai kenyataan beliau,” kata Fahmi dalam rakaman video yang dimuatnaik di Twitter.

Terdahulu, Sanusi yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah menyelar golongan yang menuntut wang untuk pulang ke kampung halaman bagi tujuan mengundi.

Dalam ceramah kempen menyokong calon PN Azman Nasruddin pada pilihan raya Parlimen Padang Serai yang akan diadakan pada 7 Dis yang dirakam dalam klip video dimuat naik di TikTok, Sanusi berkata, segelintir pengundi merungut dalam talian apabila mereka tidak mendapat elaun untuk mengundi.

Beliau kelihatan berang terhadap pengundi yang meminta bayaran untuk pulang mengundi. Sebaliknya, katanya, penyokong Pakatan Harapan (PH) sanggup pulang mengundi dari sejauh Australia dan Amerika Syarikat.

“(Pengundi PH) tahu penting tanah ini untuk dikuasai.

“(Kita) kejar wakil rakyat, minta RM50, (ugut) tak mahu balik (mengundi) kalau tak diberi (wang). Memalukan!,” katanya menurut video itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan