Rafizi kembali di Twitter, ajak semua orang bekerja

Suzalina Halid

suzalina@bh.com.my

Kuala Lumpur: Selepas hampir seminggu mendiamkan diri pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Menteri Ekonomi Rafizi Ramli kembali aktif di Twitter sejak semalam melalui beberapa ciapannya berhubung pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Rafizi yang menyertai Kabinet Kerajaan Perpaduan melalui ciapan ketiganya, hari ini memaklumkan sudah tiba masa bagi semua pihak kembali kepada rutin asal iaitu melakukan tugas dengan baik untuk rakyat.

"PRU15 dah selesai, kerajaan sudah ada... masa untuk kita kembali ke rutin harian, mencari rezeki halal, buat terbaik dalam semua benda, berbakti dan cari redha Allah.

"Yang kerajaan, yang pembangkang, buat terbaik untuk rakyat," ciapnya yang sempat bergurau supaya mana-mana individu yang 'gemuk' untuk bersenam.

Melalui komen pengguna di Twitter, Timbalan Presiden PKR itu sempat menjawab dengan sidang media pertamanya sebagai menteri akan diadakan selepas sesi taklimat dan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terlebih dahulu.

MoFaz _ARMcode @mofazr1 bertanya bila Ahli Parlimen Pandan itu akan mengadakan sidang media pertama sebagai Menteri Ekonomi untuk mengumumkan pelan kementerian mengenai ekonomi rakyat?

"Insya-Allah lepas saya dapat 'briefing' dulu, semak semua dan bincang dengan Perdana Menteri," jawabnya.

Menjawab komen sc @sccssccsccs bila Rafizi akan mula memasuki pejabatnya di Kementerian Ekonomi, beliau berkata, sesi 'clock in' secara tidak rasmi akan dilakukan, petang ini.

"Petang ini secara tak rasmi esok rasmi," katanya yang turut memberi jaminan program Ayuh Malaysia dilancarkan Ogos lalu bagi membawa isu semasa oleh PKR mengenai sosio-ekonomi rakyat akan tetap diteruskan.

Semalam, di platform sama Rafizi mendedahkan beliau adalah seorang daripada yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan PKR merundingkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

"Terima kasih atas segala tweets sejak keputusan PRU15. Saya salah seorang yang mewakili PKR/PH merundingkan Kerajaan Perpaduan.

"Tak cantik runding tapi bising di luar. Sekarang sudah tertubuh, Insya-Allah saya bagi pandangan selepas ini," ciapnya.

Rafizi yang dilihat gemar menggunakan platform Twitter bagaimanapun bertindak mengunci mulut daripada menerangkan sebarang tindakan di media sosial itu sepanjang proses rundingan ke arah Kerajaan Perpaduan, pasca PRU-15.

Kali terakhir Rafizi membuat ciapan pada 27 November lalu bagi mewar-warkan mengenai Jelajah Ayuh Malaysia Kita Boleh di Parlimen Padang Serai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan