KOSMO!
GAMBAR bertarikh 20 Ogos 2022 menunjukkan Sultan Mohammed VI (tengah) bersama saudara lelakinya, Putera Moulay Rachid (kanan) dan anak lelaki, Putera Mahkotan Moulay Hassan (kiri). -- AFP
PARIS – Dua wartawan tempatan dibicarakan di Perancis kelmarin kerana cuba memeras ugut Raja Maghribi dengan cara meminta wang untuk tidak menyiarkan pendedahan memalukan tentang baginda, lapor seorang pemberita AFP.
Eric Laurent, 75, dan Catherine Graciet, 48, dituduh meminta wang €2 juta (RM9.36 juta) dalam tahun 2015 sebagai pertukaran untuk menghentikan penerbitan sebuah buku mengenai keluarga diraja Maghribi.
Kedua-dua wartawan itu berdepan hukuman penjara lima tahun dan denda €75,000 (RM350,884) jika didapati bersalah. Laurent dan Graciet menafikan sebarang salah laku dan sebaliknya berkata, mereka telah diperangkap.
Kedua-dua penulis itu pernah menerbitkan sebuah buku yang mengkritik Sultan Mohammed VI dalam tahun 2012 bertajuk The Predator King yang diharamkan di Maghribi.
Menjelang penerbitan edisi kedua, Laurent pada Ogos 2015 menemui seorang peguam mewakili monarki berkenaan di bar sebuah hotel di Paris dan memberi amaran kepadanya bahawa buku itu mengandungi pendedahan memalukan mengenai Sultan Mohammed VI.
Maghribi menuduh Laurent menawarkan untuk menghentikan penerbitan bukunya jika dia dibayar sebanyak €3 juta (RM14.04 juta). Dia kemudian mengurangkan jumlah tersebut kepada €2 juta selepas siri rundingan.
Laurent berkata, peguam mewakili keluarga diraja Maghribi adalah pihak yang mencadangkan penyelesaian sedemikian untuk mencegah maklumat itu daripada tersebar.
Selepas rundingan kali pertama, Maghribi memfailkan aduan dan kertas siasatan dibuka di Paris.
Kedua-dua pihak bertemu kali ketiga pada Ogos 2015 di hotel lain di mana mereka disertai penulis bersama, Graciet. Kedua-dua penulis itu menandatangani perjanjian untuk menerima €2 juta sebagai ganjaran tidak menerbitkan buku tersebut.
Mereka ditangkap selepas itu bersama dua sampul surat yang setiap satu berisi wang tunai €40,000. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan