Melvin Joni
am@hmetro.com.my
KERETA yang ditemui di Ladang Felcra Kampung Endap, Kota Samarahan. FOTO Melvin Joni.
Kota Samarahan: Pekerja Ladang Felcra Kampung Endap di sini, terkejut selepas menemui mayat seorang lelaki di dalam sebuah kereta di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Brodie Brangka berkata kejadian disedari seorang pekerja ladang berkenaan sebelum memberitahu pengurus ladang yang kemudian melaporkan kepada polis pada jam 12.05 tengah hari tadi.
Susulan itu, katanya pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan segera dikerahkan ke lokasi kejadian dan mendapati satu mayat di dalam kereta iaitu seorang lelaki berusia 47 tahun.
"Kejadian disedari apabila salah seorang pekerja ladang yang bekerja di kawasan tersebut ternampak sebuah kereta Perodua Viva yang diletakkan di kawasan berkenaan.
"Semasa pekerja itu memeriksa kenderaan berkenaan, dia mendapati ada mayat di dalamnya," katanya yang dihubungi, hari ini.
Katanya si mati disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Kesihatan daripada Hospital Pusat Jantung Sarawak.
Brodie menambah hasil siasatan dan pemeriksaan ke atas mayat mendapati tiada kesan kecederaan pada badan si mati.
Katanya siasatan di tempat kejadian juga mendapati tiada kesan pergelutan.
Katanya kes masih dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan