FMT Reporters
PETALING JAYA: Satu mayat lelaki yang reput dengan empat kesan tembakan di kepala ditemui di tebing Sungai Golok, Kelantan semalam.
Mayat itu dijumpai tersangkut pada sebatang pokok di tebing sungai berkenaan oleh seorang pemancing pada 3 petang.
Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun dipetik Sinar Harian berkata, tiada pengenalan diri dijumpai bersama mayat yang hanya berseluar itu.
“Berdasarkan keadaan mayat tersebut yang sudah reput, mangsa dipercayai meninggal dunia sejak dua minggu lalu.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat empat das tembakan di bahagian kepala,” katanya menurut laporan itu.
Beliau berkata, mangsa dipercayai ditembak dari jarak dekat, berdasarkan kesan tembusan di kiri, kanan atau belakang dan depan kepala.
“Siasatan masih dijalankan dengan menguar-uarkan kepada pihak berkuasa di negara jiran bagi mendapatkan maklumat berkait insiden di negara tersebut yang boleh dikaitkan dengan penemuan mayat ini.
“Semakan juga dibuat di daerah lain di negeri ini berkaitan laporan orang hilang,” katanya yang menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan