FMT Reporters
PETALING JAYA: Empat pegawai Jabatan Imigresen yang dipercayai bersubahat dengan sindiket penyeludupan migran ditahan dalam operasi khas Op Kenyalang di Serian dan Bintulu, Sarawak Jumaat lepas.
Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata semua pegawai berusia antara 35 hingga 45 tahun itu ditahan pada 9.45 malam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, Serian oleh sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Imigresen Putrajaya serta pegawai operasi Imigresen Sarawak.
“Hasil risikan dan siasatan hampir tiga bulan mendapati pegawai berkenaan bersuhabat dengan menurunkan cap keselamatan ke atas pasport warga asing bagi memastikan perjalanan mereka selamat sampai ke destinasi,” katanya menurut Bernama dalam kenyataan.
Beliau berkata dalam operasi yang sama, seramai 63 warga Indonesia berusia 22 hingga 52 tahun yang terdiri daripada 37 lelaki dan 26 perempuan turut ditahan dalam serbuan berasingan di sebuah premis kediaman dan pemeriksaan terhadap dua bas di Bintulu.
Katanya 30 daripada mereka termasuk seorang lelaki dipercayai ketua sindiket berusia 38 tahun ditahan di premis kediaman yang dipercayai dijadikan sebagai rumah transit dan wang tunai sebanyak RM25,000 serta Rp3 juta turut berjaya dirampas.
“Hasil pemeriksaan mendapati semua yang ditahan itu adalah orang yang disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen daripada memasuki negara. Semua mereka juga mempunyai tiket penerbangan ke Kuala Lumpur,” katanya.
Menurut Khairul, 33 lagi pendatang tanpa izin ditahan selepas imigresen melakukan pemeriksaan terhadap dua bas di Bintulu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mengaut keuntungan lebih RM80,000 sebulan hasil bayaran sebanyak RM5,000 hingga RM6,000 yang dikenakan untuk setiap migran yang ingin memasuki negara ini.
“Sindiket ini dipercayai hampir lapan bulan beroperasi. Mereka mengatur pergerakan masuk warga asing yang disenaraihitamkan dengan dibantu oleh pegawai imigresen berkenaan melibatkan seramai 30 hingga 40 orang bagi setiap kemasukan.
“Mereka kemudian akan dibawa ke rumah transit yang ditetapkan oleh sindiket sebelum dibawa ke lapangan terbang seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Antarabangsa Miri dan Lapangan Terbang Bintulu sebelum dibawa ke Semenanjung Malaysia melalui laluan domestik,” katanya.
Khairul berkata kesemua pegawai imigresen dan ketua sindiket yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 manakala yang lain di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia secara tidak sah.
Katanya pihaknya akan terus memburu sindiket yang terlibat dengan aktiviti menyalahi undang-undang dan akan mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang didapati melanggar kesalahan di bawah akta berkaitan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan