Anak ketua PAS Perak akhirnya tarik balik kenyataan terhadap Anwar
Malaysiakini
Kira-kira seminggu selepas mendakwa bapanya memohon maaf kepada Anwar Ibrahim demi menjaga nama baik perdana menteri, Muhammad Rif'aat Razman akhirnya menarik balik kenyataan tersebut.
Anak kepada pesuruhjaya PAS Perak itu juga dipercayai memadamkan hampir semua hantaran yang dibuat dalam akaun Facebooknya.
Peguam Anwar, SN Nair berkata bekas calon PAS untuk kerusi parlimen Lenggong dalam PRU ke-15 lalu itu juga berjanji untuk menyahaktifkan akaun media sosialnya itu.
Pada 9 Feb lalu Razman Zakaria mengemukakan permohonan maaf kepada Anwar ekoran dakwaannya terhadap perdana menteri dengan aktiviti LGBT
Kira-kira empat bulan sebelum itu Razman memberitahu dalam sidang media, dia tidak akan mengemukakan permohonan maaf kepada Anwar kerana nilai saman RM5 juta yang dikemukakan Anwar adalah kecil berbanding "akibah" umat Islam yang didakwa mahu dipertahankan Adun Gunong Semanggol berkenaan.
Tidak lama kemudian untuk membela Razman, Rif'aat didapati memberi komen di Facebook mendakwa bapanya itu mengemukakan permohonan maaf demi "menjaga nama baik perdana menteri."
"Kalau nak panjang kes, lagi banyak pekung dibuka. Sebab Anwar ada kes yang sudah disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman.
"Kedua-dua belah pihak setuju kes ditutup, untuk jaga nama Anwar sebagai PM. Selesai," katanya.
Kata Nair merujuk kepada laporan Malaysiakini bertarikh 10 Feb lalu, Ri'faat telah menarik balik kenyataannya dan dimaklumkan melalui peguam Razman.
"Dia telah memadam semua hantaran berkaitan di FB dan juga menyahaktifkan akaun Facebooknya setakat semalam.
"Perdana menteri mengarahkan agar tindakan undang-undang berkaitan perkara itu diselesaikan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan