YB Langkawi dedah kisah payudara dipotong kerana dadah

BERNAMA

Kuala Lumpur: Kisah benar seorang ibu tunggal dicederakan anak kandung akibat pengaruh dadah, mencuri perhatian sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Menceritakan pengalamannya, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi), berkata beliau pernah didatangi seorang ibu tunggal yang hilang sebelah payudara akibat perbuatan ganas anak lelakinya yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Lebih memilukan, Mohd Suhaimi, yang juga Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), berkata wanita itu tidak berani ke hospital mendapatkan rawatan dan hanya menyapu lukanya dengan serbuk kopi kerana takut perbuatan anaknya terbongkar oleh polis.

"Anak dia itu minta duit tiga empat kali (ibu) tak bagi, anak pergi ke dapur dan ambil pisau... rentap rantai mak dia, dia potong buah dada kiri mak dia. Itu kasih seorang ibu, tapi anak sanggup potong buah dada mak dia yang menyusukan dia, itu akibat dadah," katanya.

Mengambil iktibar daripada kisah itu, Mohd Suhaimi, yang pertama kali menjadi wakil rakyat, berharap kerajaan memandang serius isu penagihan dadah dan melaksanakan langkah yang lebih berkesan bagi menanganinya.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar), yang mencelah perbahasan Mohd Suhaimi, berkata kerajaan perlu menukar strategi dan taktik mencegah penyalahgunaan dadah dengan rawatan terutama kes-kes yang tidak serius.

"Terutama 'soft drug', bukankah lebih baik kita guna inisiatif untuk merawat mereka, tidak meletakkan dalam penjara tetapi biar pakar dan doktor merawat mereka supaya proses pemulihan itu lebih baik seperti dilakukan negara Portugal," katanya.

Dalam perkembangan lain, Syahredzan Johan (PH-Bangi), dalam perbahasannya, mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneliti semula kawasan-kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai supaya dilakukan persempadanan semula.

Menjadikan Parlimen Bangi yang mempunyai jumlah pengundi berdaftar teramai iaitu sebanyak 300,000 pengundi sebagai contoh, Syahredzan berkata saiz Parlimen 'mega' itu memberi kesan kepada nilai undi seseorang pengundi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan