AWAS!! Jangan muat turun ‘Pink WhatsApp’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Orang ramai diminta berwaspada apabila menerima jemputan menyertai atau memuat turun aplikasi hasad “Pink WhatsApp”, yang dikatakan boleh mengakses pelbagai item dalam telefon pintar pengguna.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam kenyataan berkata, aplikasi itu konon menawarkan ciri keselamatan serta privasi lebih baik, “antaramuka” boleh diubah suai, serta keupayaan menghantar fail lebih besar berbanding aplikasi WhatsApp yang biasa digunakan.

Bagaimanapun, SKMM berkata selepas pemasangan, aplikasi hasad itu boleh mengakses pelbagai item pengguna seperti gambar, SMS dan senarai kenalan, yang boleh membawa kepada risiko keselamatan serius.

“Pengguna akan menerima mesej dan pautan seolah-olah datang daripada WhatsApp yang mengajak pengguna mencuba aplikasi baharu tersebut.

“SKMM menasihatkan pengguna tidak memuat turun dan memasang aplikasi ‘Pink WhatsApp’ tersebut, dan segera membuang aplikasi berkenaan sekiranya ia dipasang dalam telefon pintar,” katanya.

SKMM mengesyorkan pengguna hanya memuat turun aplikasi mudah alih daripada gedung aplikasi rasmi seperti Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.

“Pengguna juga diminta tidak menyebarluas sebarang pautan mencurigakan.

“SKMM ingin menekankan kepentingan untuk berhati-hati ketika menggunakan aplikasi mudah alih, mengambil langkah pencegahan untuk melindungi maklumat peribadi, serta mengelak daripada memuat turun aplikasi hasad,” menurut SKMM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan