Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
AMIR bersama keluarga ketika Program Advokasi Keluarga di Penjara Pokok Sena. FOTO Ahmad Mukhsein Mukhtar
Pokok Sena: "Saya kesal kerana tidak selidik dulu sewaktu menerima tempahan penumpang sehinggakan terpaksa meringkuk dalam penjara kerana kecuaian saya membawa penumpang pendatang tanpa izin (Pati), " kata Amir, 42, (bukan nama sebenar).
Menurut Amir, dia yang juga pemandu kenderaan e-hailing menerima tempahan dalam talian dengan bayaran sebanyak RM700 membawa penumpang warga asing dari Bukit Kayu Hitam ke Pulau Pinang hujung tahun lalu, namun tidak selidik terlebih dahulu penumpang yang hendak dibawa.
"Apabila saya menerima pesanan, kesemua penumpang warga asing itu memberitahu mereka mempunyai pasport dokumen sah dan saya ingat mereka ikut saluran betul.
"Sebab itu saya terkejut apabila ditahan dan kemudian didakwa atas kesalahan pemerdagangan manusia.
"Kini, saya sedar saya sepatutnya lebih berhati-hati sewaktu menerima tempahan dengan mendaftar melalui aplikasi e-hailing," katanya ketika ditemui ketika Program Advokasi Keluarga di Penjara Pokok Sena di sini hari ini.
Amir adalah salah seorang daripada tujuh banduan di bawah ATIPSOM yang dibenarkan bertemu ahli keluarga mereka semasa program hari ini.
Walaupun Amir kesal dengan kecuaiannya yang membawanya ke penjara, dia berkata menjalani hukuman di balik jeriji besi mempunyai kelebihan yang mendalam.
"Di luar sana, saya memandu penumpang selama 12 jam sehari selama enam hari seminggu. Saya hampir tidak meluangkan masa bersama keluarga.
"Sepanjang berada dalam penjara hubungan saya dengan keluarga lebih kukuh malah isteri dan anak-anak saya sangat merindui saya," katanya yang dijatuhi hukuman penjara dua tahun.
Bapa kepada dua anak itu berkata ketika berada di penjara juga mendekatkan dirinya kepada Allah SWT dan menunaikan solat mengikut waktu selain membaca al-Quran setiap hari di sini.
Amir berkata, dia didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26J Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 selepas polis menangkapnya bersama 10 warga Myanmar tanpa izin di dalam kereta.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penjara negeri, Abdul Kadir Jailani Ismail berkata, program yang diadakan hari ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara banduan dan ahli keluarga mereka.
"Program ini mendapat sambutan positif daripada ahli keluarga mereka, kerana ada yang sanggup datang jauh dari Pulau Pinang.
"Kami akan terus menganjurkan program serupa supaya orang ramai di luar sana faham bahawa banduan ini hanyalah manusia yang kebetulan membuat keputusan terburu-buru," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan