Hariz Mohd
PH bersetuju memberi laluan kepada BN di beberapa kerusinya pada pilihan raya negeri Selangor akan datang, kata Amirudin Shari.
Bercakap dalam temu bual di sebuah stesen radio yang disiarkan pagi ini, pengerusi PH Selangor itu berkata ini dilakukan atas semangat perpaduan tetapi tidak memberi butiran khusus kecuali sekadar berkata, ia melibatkan "satu atau dua kerusi".
“Sudah tentu, kita terpaksa mengalah atas semangat perpaduan. (Tetapi) Saya tidak dalam kedudukan untuk menjawab. Pengerusi gabungan kerajaan perpaduan akan mengumumkannya (senarai calon).
“Kami lepaskan apa yang kami anggap untuk setiap parti sebelum ini pada pilihan raya umum ke-14... Sudah tentu kerusi yang dimenangi Bersatu ketika bertanding di bawah bendera PKR.
"Dan satu atau dua (kerusi PH) kepada Umno atas semangat perpaduan," katanya pada temu bual di segmen Breakfast Grille di radio BFM.
Amirudin, yang juga menteri besar Selangor, juga cuba mengelak daripada mengulas tentang senarai calon PH-BN untuk Selangor apabila ditanya oleh pengacara program jika akan ada kejutan.
Adun Sungai Tua itu mendakwa dia belum melihat senarai calon, sambil menambah bahawa PH Selangor hanya mengemukakan cadangan mereka kepada kepimpinan pusat gabungan itu berdasarkan pencalonan daripada bahagian.
“Ia semata-mata senarai PH dan Umno. Tetapi saya belum melihatnya lagi. Kami akan mengadakan mesyuarat pada 16 Julai ini.
“Ya, (kami kemukakan) cadangan, tetapi ini belum muktamad. Saya tidak boleh umum, saya tidak boleh mengulas tentang senarai itu.
“Sudah tentu, presiden ada hak, pengarah pilihan raya negara kita Rafizi (Ramli) ada hak. Kita hanya susun calon-calon dari peringkat bahagian,” katanya.
Pada wawancara itu, Amirudin juga membidas slogan “Selangor Baharu” yang dicetuskan oleh Perikatan Nasional (PN).
Dia memberitahu BFM bahawa tiada perkara baharu dengan apa yang ditawarkan PN, terutama dengan rancangannya untuk menampilkan beberapa bekas pemimpin Umno.
“Ini bukan ‘baru’ atau perubahan dalam kepimpinan. Bagi saya, propaganda Selangor Baharu hanyalah kitar semula,” kata Amirudin sambil menambah dia bagaimanapun tidak mengambil mudah cabaran PN.
Menurut menteri besar itu, PH dan BN masih perlu menangani isu pemindahan undi antara kedua-dua parti yang pernah menjadi seteru utama.
Beberapa tinjauan menunjukkan bahawa penyokong PH lebih bersedia untuk memberikan sokongan kepada calon BN, tetapi sebaliknya, bilangan kumpulan yang belum membuat keputusan juga masih tinggi.
“... Saya rasa kita perlu menjelaskan kepada jentera kita, teruskan menjelaskan kepada pengundi betapa pentingnya perpaduan dan untuk sejajar dengan kerajaan persekutuan untuk pemulihan ekonomi.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan