Al-Abror Mohd Yusuf
Bersepah-sepah sebenarnya lagu 'gelap' yang dengan bertemakan khianat, curang, keji dan menggetarkan tetapi diterima ramai - termasuk mungkin golongan polis moral - secara selamba.
Ia berlaku dengan sangat bersahaja, antara lain kerana mesej yang dibawa itu dipakaikan dengan irama yang mengasyikkan. Kata-kata yang dipilih menjadi lirik pula biasanya puitis dan berbunga-bunga.
Pedulilah sama ada ia diilhamkan di luar negara atau dalam Malaysia.
Sisi-sisi gelap banyak diceritakan dengan lagu dan menjadi siulan ramai. Ia hanya dibantah atau dipersoalkan selepas ada individu atau pihak tertentu membangkitkan isu.
Itu pun belum tentu diterima, apatah lagi pada masa sama pihak yang mempertikaikan itu sendiri kadang-kadang lebih kartun daripada kartun. Orang macam itu memang ada dan bersepah-sepah juga.
Disumpah paranoid atau pelbagai teori konspirasi, misalnya.
Lama sebelum itu pun orang kita sudah terbiasa dengan sisi 'gelap' dalam seni hiburan. Misalnya pelbagai dialog spontan yang disambut dengan ketawa ria penonton.
"Itu kubur tempat kau nak mampus, bahlol!" misalnya, atau "Dah tua pun bodoh" dan “Bapak kau kan dah mampus?"
Ia disaksikan, diraikan dan kemudian dilupakan sebelum ditiru sekali-sekala.
Kemudian datanglah zaman yang lebih kemudian.
Caci maki di masjid dinormalkan
Ketika biasanya agamawan itu seorang yang selalu meneduhkan, berjurus, menjaga kelakuan sebaik mungkin kerana sedar diri dia diperhatikan dan diteladani, ada 'agamawan' tertentu yang semacam ketagih membodohkan orang lain.
Kadang-kadang dia orang lain yang tidak sehaluan atau berbeza fikrah dengannya. Namun pada masa lain dia mungkin tidak teragak-agak membodohkan orang yang tercanguk mendengar 'kuliah' di depannya.
Ia juga diraikan. Dapat difahami dalam banyak keadaan makian dan hinaan itu adalah sejenis jenaka dalam pengajian. Namun pada ketika tertentu makian yang dilabel sebagai jenaka itu keterlaluan, dan mungkin ia lebih banyak mengisi slot 'kuliah' itu berbanding ilmu yang disampaikan.
Memanglah, apabila dewan masjid itu bergemuruh dengan ketawa, siapa yang tidak naik syok. Ia akan mendorong seseorang ustaz - atau mungkin 'tuan guru' - untuk lebih melawak.
Caci maki dan carutan di dalam masjid pun sudah dinormalkan perlahan-lahan.
Di celah-celah era itu, muncul di sana sini pelawak yang memilih untuk menjentik naluri ketawa orang ramai dengan jenaka lucah atau bertindih makna.
Ia adalah modal yang sangat mudah dan laris di pasaran.
Justeru apa yang kita risau dan gegerkan apabila orang politik pula tanpa teragak-agak menjadi badut dengan mengambil lorong keji sebegitu?
Ia adalah buah yang kita petik ranum hasil semaian yang dibaja perlahan-lahan. Dan sudah tentu baja terbaik untuk menyuburkan budaya itu namanya "agama".
Ketika orang bertamadun semakin terarah kepada budaya saling menghormati antara satu sama lain, berfikir panjang sebelum bersuara, mengukuhkan empati dan seumpamanya, orang politik memilih untuk menjadi popular dengan cara yang lain daripada lain.
Antara 'jenaka' paling keji yang mampu difikirkan ketika ini ialah mempersendakan keadaan fizikal orang lain, khususnya individu yang dibenci. Ia kemudian menjadi begitu lunak kerana sangat menghiburkan, dan disambut dengan tepukan gemuruh.
Jangan lupa, ucapan menghina, mempersenda dan memperolok-olokkan fizikal orang yang dimusuhi itu biasanya dimulakan dengan salam, selawat ke atas Rasulullah dan satu dua ayat al-Quran.
Untuk melengkapkannya, menjadi kelaziman ucapan-ucapan keji sebegitu tidak akan tamat kecuali dibacakan kalimah suci juga. Wabillahi taufiq dan hidayah, contohnya.
Demikianlah, kita pun berteriak, bersyarah dan mengacung tangan ke udara dengan perasaan bersemangat mahu membela agama. Kita menekankan bahawa agama yang dianuti ini sempurna, serba indah, tidak memusuhi sesiapa dan menjanjikan syurga.
Kemudian kita pun mengeluh apabila agama yang sesempurna itu dipandang serong, dihina, dipandang rendah atau bahkan ditolak. Punya bertuah sikap itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan