Jiran dengar bunyi muzik kuat sebelum wanita ditemukan maut

Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
Lokasi  seorang wanita yang juga peniaga air maut dipercayai ditikam bekas suaminya di Taman Desa, Pasir Tumboh. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kota Bharu: Jiran menyifatkan mangsa yang maut dipercayai ditikam oleh bekas suaminya seorang peramah, namun tidak mengenalinya secara dekat berikutan wanita itu baru menyewa selama dua bulan di perumahan Taman Desa Darulnaim, Pasir Tumboh, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa berusia 40-an, maut disyaki ditikam bekas suaminya berusia 40-an yang juga cedera parah dipercayai menikam perutnya sendiri.

Jiran mangsa yang hanya dikenali sebagai Aini, 40, berkata mangsa baru dua bulan menyewa di perumahan itu bersama anak saudara perempuan.

Katanya, mangsa tinggal berdua dengan anak saudaranya dan tidak nampak orang lain selain daripada mereka.

"Mangsa seorang yang peramah, sering menegur jika saya melalui hadapan rumah sewanya, namun saya tidak sempat berkenalan dengannya berikutan wanita itu menjual air balang dari pagi hingga petang dan saya juga bekerja dengan orang.

"Namun, saya terkejut apabila mengetahui mangsa maut dipercayai ditikam bekas suaminya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Aini berkata, sebelum kejadian, dia dan beberapa jiran ada terdengar bunyi muzik yang kuat datang dari rumah itu.

"Saya tidak sangka kejadian itu berlaku di sini selepas tinggal di lokasi ini sejak 19 tahun yang lalu," katanya.

Seorang jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Jah, 60-an berkata dia mengetahui kejadian selepas melihat polis dan banyak kereta di hadapan rumah itu.

"Selepas beberapa minit, saya lihat polis angkat mayat dalam plastik hitam dan barulah saya mengetahui mengenai kes wanita meninggal disyaki ditikam," katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita yang juga peniaga air balang maut dipercayai ditikam bekas suaminya di Taman Desa, Pasir Tumboh, di sini, pagi tadi.

Dalam itu, mangsa yang berusia lingkungan 40-an, maut di lokasi kejadian, manakala bekas suami mangsa turut parah di perut dan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, untuk rawatan lanjut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan