Warga Hong Kong dipukul bawa anjing masuk restoran
Polis menahan suspek yang memukul mangsa menggunakan kerusi plastik di sebuah restoran di Seremban.
FMT Reporters
Rakaman CCTV menunjukkan mangsa dan isterinya dipukul suspek menggunakan kerusi plastik kerana membawa masuk dua ekor anjing dalam sebuah restoran di Seremban pada Isnin lalu.
PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki berusia 49 tahun kerana memukul seorang warga Hong Kong kerana membawa masuk dua ekor anjing dalam sebuah restoran di Seremban pada Isnin lalu.
Menurut China Press, mangsa berusia 61 tahun dan isterinya seorang warga tempatan berusia 51 tahun dipukul menggunakan kerusi plastik oleh suspek.
Rakaman CCTV menunjukkan mangsa terjatuh selepas dipukul dan diseret suspek sebelum beberapa pelanggan campur tangan untuk menghalang lelaki itu.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian badan akibat serangan itu.
Suspek dilaporkan ditahan polis semalam dan direman sehingga esok.
China Press melaporkan, suspek memberitahu polis dia tidak suka melihat pasangan itu membawa anjing mereka ke dalam restoran tersebut.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyerang dengan senjata. Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan