PRN: Perebutan kerusi di Hulu Langat antara PH, Umno belum selesai

Hariz Mohd

Tarikh untuk Umno dan parti komponen Pakatan Harapan (PH) mengumumkan calon masing-masing untuk pilihan raya negeri (PRN) Selangor semakin hampir, tetapi perebutan kerusi tertentu masih belum berakhir.

Difahamkan, kerusi Dusun Tua dan Semenyih menjadi pertikaian terbaru antara kedua-dua parti, khususnya Umno dan DAP. Kedua-dua kerusi itu terletak di bawah kawasan parlimen Hulu Langat.

Penyandang Dusun Tua ialah Edry Faizal Eddy Yusof dari DAP, manakala Semenyih dimenangi PH menerusi Bakhtiar Mohd Nor dari Bersatu pada 2018 sebelum Umno merampas kerusi itu pada tahun berikutnya dalam pilihan raya kecil (PRK( berikutan kematian Bakhtiar.

Bersatu kemudiannya keluar daripada PH, selepas itu DAP ditugaskan untuk menjadi penyelaras DUN Semenyih.

Menjadi penyelaras kawasan biasanya menunjukkan parti yang ditugaskan mungkin bertanding di kerusi itu, tetapi menurut orang dalam Umno dan PH, keadaan mungkin berubah selepas PH dan BN menjalin kerjasama berikutan pilihan raya umum (PRU) tahun lalu.

“Sebelum PRU ke-15, DAP telah mengambil jawatan sebagai penyelaras DUN semenyih. Jadi, pejabat di DUN Semenyih, tanggungjawab dijalankan oleh wakil DAP dan juga jentera dan ahli DAP selama satu tahun dari awal 2022 sampai ke lebih kurang Mac 2023.

"Selepas Mac 2023, seluruh pejabat tu semua tanggungjawab dialihkan kepada Adun Semenyih (dari Umno). Jadi pejabat penyelaras itu telah ditutup sejak bulan Mac," kata pemimpin DAP Selangor Ong Kian Ming kepada Malaysiakini.

Pemimpin DAP Selangor, Ong Kian Min
Walaupun Ong tidak menyatakannya, difahamkan jentera DAP kawasan itu berharap untuk melihat ahli mereka sendiri bertanding untuk kerusi di bawah Hulu Langat.

Selain Semenyih, Malaysiakini mengetahui bahawa DAP juga mungkin kehilangan peluang untuk mempertahankan Dusun Tua dalam PRN.

Orang dalam Umno yang rapat dengan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi mendakwa bahawa rundingan kerusi PH-BN telah mencapai persetujuan untuk membiarkan Umno bertanding di Dusun Tua menentang Perikatan Nasional (PN).

“DAP bersetuju memberi laluan kepada Umno di Dusun Tua supaya (Ahli Majlis Tertinggi Umno) Tengku Zafrul (Abdul Aziz) boleh bertanding di sana,” kata sumber itu.

Beberapa sumber dalam PH, termasuk mereka yang rapat dengan menteri besar sementara Selangor Amirudin Shari, juga mendedahkan maklumat yang sama, dengan beberapa mengatakan bahawa idea itu sedang dipertimbangkan. Mereka bagaimanapun menafikan tanggapan bahawa PH memberi laluan khusus untuk Zafrul.

Malaysiakini telah cuba mendapatkan pengesahan rasmi daripada mereka yang terlibat secara langsung dengan rundingan kerusi PH-Umno di peringkat negeri dan persekutuan, termasuk Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin, tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas.

'Berharap untuk pertahan Dusun Tua'

Edry Faizal dalam pada itu mengakui mendengar khabar angin sedemikian tetapi enggan mengulas lanjut kecuali menyerahkan kepada parti dan menyatakan harapan untuk mempertahankan kerusi Dusun Tua.

“Sudah tentu bagi mana-mana penyandang, terutama yang baru berkhidmat satu penggal, ada baiknya saya dapat mempertahankan kerusi saya.

Penyandang Adun Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof dari DAP

“Ia bukan mengenai jawatan, tetapi selepas melakukan kerja selama lima tahun, pilihan raya adalah cara terbaik untuk kita melihat sama ada rakyat fikir kita telah melakukan kerja yang baik atau tidak.

"Tetapi jika saya tidak bertanding lagi, tidak mengapa," katanya.

Bagaimanapun, Ong, yang merupakan Bendahari DAP Selangor, memberi amaran bahawa memberi Umno bertanding di kedua-dua kerusi itu boleh menyebabkan ketidakpuasan hati akar umbi DAP.

Ketika jentera DAP di Hulu Langat bersedia untuk menyediakan kempen untuk mana-mana calon yang diletakkan PH dan sekutunya, ahli parti itu mungkin hilang motivasi dan semangat.

“Kita bercadang untuk membantu kempen calon daripada mana-mana parti komponen PH dan Umno di Hulu Langat termasuk di Semenyih.

“Tetapi jika kerusi DAP di Dusun Tua dirampas dan kita tidak mempunyai sebarang kerusi di Hulu Langat, saya percaya ia akan menyebabkan jentera DAP di Hulu Langat kurang bermotivasi.

“Saya harap pemimpin Umno di Hulu Langat dapat memahami sentimen jentera DAP jika ini berlaku dan tidak menyalahkan kita,” katanya.

Terdapat 56 kerusi DUN di Selangor, dengan 40 daripadanya dipegang oleh parti komponen PH dan lima oleh Umno.

Sembilan kerusi disandang parti Perikatan Nasional (PN), satu oleh Warisan, manakala satu kosong selepas Adun Teratai Harumaini Omar dari Pejuang gagal hadir mesyuarat DUN Selangor selama lebih enam bulan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan baru-baru ini mendedahkan Umno akan bertanding di 12 kerusi di Selangor, bermakna PH akan bertanding di 44 kerusi yang lain.

Semenyih merupakan kerusi majoriti Melayu dengan lebih 75 peratus, dan pernah menjadi kerusi tradisi Umno sehingga ia dikalahkan oleh Bakhtiar daripada Bersatu pada 2018.

Bagaimanapun, kematian Bakhtiar pada Januari 2019 membuka laluan untuk pilihan raya kecil dan menyaksikan Zakaria Hanafi dari Umno merampas kembali kerusi itu dengan majoriti tipis 1,914 undi.

Dusun Tua juga merupakan kerusi majoriti Melayu tetapi dengan komposisi kurang iaitu kira-kira 63 peratus pengundi Melayu, diikuti Cina (28 peratus), India (tujuh peratus) dan lain-lain (dua peratus).

Ia pernah menjadi kerusi tradisi Umno sehingga 2013 apabila Razaly Hassan dari PAS menang dalam PRU ke-13, menewaskan penyandangnya Ismail Sani.

Razaly pula dikalahkan oleh Edry Faizal pada PRU 2018 dengan majoriti 10,422 undi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan