Murid digigit guru kurang selera makan, emosi tidak stabil

Sinar Harian

Menurut ibu kanak-kanak itu, anak lelakinya yang berusia enam tahun itu juga sering mengamuk, berguling-guling serta berasa takut dan tidak mahu ke sekolah. - Gambar hiasan

KOTA BHARU: Ibu kepada murid dipercayai digigit di bibir oleh seorang guru melahirkan rasa bimbang melihat situasi terkini anak lelakinya yang mengalami emosi tidak stabil dan kurang selera makan.

Menurutnya, anak lelakinya yang berusia enam tahun itu juga sering mengamuk, berguling-guling serta berasa takut dan tidak mahu ke sekolah.

"Sebagai ibu, saya bimbang melihat keadaan anak selepas kejadian yang berlaku Khamis lalu.

"Kebiasaannya dia seorang yang ceria. Saya telah berjumpa pihak pentadbiran sekolah dan akan mengambil tindakan undang-undang di atas apa yang berlaku," katanya ketika dihubungi pemberita pada Selasa.

Menurut ibu kepada empat orang anak itu, dia tidak akan memindahkan anak ketiganya ke sekolah lain tetapi berharap pihak pentadbiran dapat menukar guru berkenaan yang berusia 40-an tersebut ke tempat lain.

Tambahnya, sebagai ibu, dia tidak kisah jika anak dirotan atau apa sahaja asalkan untuk mendidik.

Dia memberitahu, tindakan guru lelaki itu dipercayai menggigit dan menarik bibir anaknya sukar diterima apabila memikirkan risiko penyakit berjangkit yang boleh disebabkan oleh air liur.

Sebelum itu, pada Ahad, tular di Facebook hantaran daripada ibu berkenaan.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian murid trauma dan terganggu emosi kerana digigit seorang guru lelaki di sebuah sekolah di Pantai Timur, yang turut tular di media sosial sejak Ahad.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika terbukti berlaku. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan