FMT Reporters
Ab Malik Hussain ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang penceramah bebas didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua tuduhan membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, menerusi aplikasi WhatsApp pada November lalu.
Bagaimanapun, Ab Malik Hussain, 62, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad, lapor Bernama.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Malik didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dalam kumpulan WhatsApp “Soal Jawab Tasawuf-(Sufi)”.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira 8.20 malam dan 8.23 malam, 22 Nov lalu di Batu 10, Kampung Pulau Padang Bota Kiri di Perak Tengah, dan dibaca pada kira-kira 8.30 malam pada hari sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, didakwa mengikut Seksyen 223(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan, Malik berdepan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya untuk setiap pertuduhan dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Timbalan Pendakwa Raya Saiful Ahmad Mod Said menawarkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun peguam Mohamad Khazali Yin dalam rayuannya memohon jaminan minimum RM3,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan anak guamnya perlu menyara seorang isteri berusia 58 tahun yang tidak bekerja, serta dua anak masing-masing berusia 13 dan 10 tahun.
Khazali juga memaklumkan tertuduh hanya mendapat RM200 untuk setiap ceramah dengan anggaran tawaran empat ke lima kali sebulan.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM3,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan 14 Ogos ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan