AFP
DANIEL Sancho Bronchalo (kiri) dan Edwin Arrieta Arteaga.
Bangkok: Lelaki Sepanyol mengaku membunuh dan mengerat mayat seorang lagi pelancong di pulau pelancongan terkenal Thailand, Koh Pha Ngan.
Polis percaya, bahagian anggota badan termasuk pinggul dan paha yang ditemukan di tempat pembuangan sampah, Khamis lalu, ialah milik pakar bedah plastik Colombia, Edwin Arrieta Arteaga berusia 44 tahun.
Ketua Polis Koh Pha Ngan, Panya Nirtimanon mengesahkan, pelancong Daniel Sancho Bronchalo, 29, yang tiba di Thailand pada 31 Julai lalu mengaku melakukan pembunuhan itu.
"Dia mengakui melakukan perbuatan itu.
"Mangsa dan suspek mengenali antara satu sama lain sebelum mereka datang ke Thailand dan kegiatannya yang meragukan menunjukkan dia mungkin membunuh mangsa.
"Pihak kami masih menjalankan siasatan motif pembunuhan itu," katanya kepada AFP.
Media melaporkan, suspek bekerja sebagai tukang masak dan anak kepada pelakon terkenal Sepanyol, Rodolfo Sancho.
Gambar suspek kelihatan sepadan dengan gambar di akaun Instagram Daniel Sancho, yang turut mengikuti akaun mangsa.
Bagaimanapun cubaan mendapatkan maklum balas daripada Kedutaan Sepanyol di Bangkok, Rodolfo Sancho dan ejennya berjaya.
Thailand adalah negara yang agak selamat apabila jenayah kekerasan jarang berlaku.
Koh Pha Ngan pula memang terkenal dengan pantai berpasir putih dan menarik ribuan pelancong ke pesta bulan purnama yang terkenal liar.
Pada 2014, sebuah lagi pulau pelancongan Koh Tao digemparkan dengan pembunuhan dua pengembara beg galas British.
Dua warga Myanmar sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup atas pembunuhan itu, tetapi kumpulan hak asasi manusia menuduh pihak berkuasa Thailand menggunakan lelaki itu sebagai kambing hitam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan