'PN tak umum calon MB Selangor sebab takut dia kalah'

B Nantha Kumar

Perikatan Nasional (PN) hanya akan mengumumkan calon menteri besar negeri Selangor selepas calon itu memenangi pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata, beberapa nama telah disenarai pendek bagi jawatan berkenaan.

"Calon menteri besar kita sedang dalam perbincangan untuk kita umumkan dalam waktu terdekat. Ada beberapa telah disenarai pendek. Semua mereka yang bertanding adalah layak.

"Yang pentingnya mereka mesti menang, kita tak mahu umum nanti ada orang kalah pula, sebab itu kita akan tengok dulu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Selangor Baru, DUN Sungai Pelek, Zanas Villa D'Klia, Kg Labu Lanjut, Salak Tinggi, malam tadi.

Hamzah diminta mengulas isu itu selepas PN sehingga kini masih tidak mengumumkan calon menteri besar mereka.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencabar PN supaya mengumumkan calon menteri besar Selangor.

"Ini hantam kat Selangor, hantam Amirudin Shari. Calon kamu menteri besar siapa?

"Calon kami, saya dah umumkan Amirudin," katanya dalam satu ceramah baru-baru ini.

Sebelum ini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata parti itu memutuskan untuk tidak mengumumkan calon menteri besar mereka di Selangor.

Muhyiddin berkata nama-nama calon menteri besar itu hanya akan diumumkan apabila tiba waktunya.

"Yang penting kita tak perlu umumkan.

"Pada prinsipnya, dalam senarai yang kita (ada) sudah kenal pasti ramai tokoh-tokoh dan sampai masa sesuai... tahu siapalah menteri besarnya," katanya

Bagaimanapun Muhyiddin menggesa Pengerusi PN Selangor Mohamed Azmin Ali supaya menghadiahkan kemenangan kepada PN di Selangor.

Azmin sebelum ini disebut-sebut bakal mengisi semula jawatan itu sekiranya PN dapat menawan Selangor.

Azmin memegang jawatan itu dari 2014 hingga 2018 ketika bersama PKR.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan