Orang buruan SPRM enggan pulang, dakwa kononnya dianiaya

Malaysiakini

Mansoor Saat, seorang lagi individu dalam senarai orang dikehendaki SPRM akhirnya tampil dan berkata dia tidak akan pulang ke Malaysia selagi “dianiaya”.

Dia juga tidak menolak kemungkinan untuk menyaman SPRM atas dakwaan menyalah guna kuasa.

Mansoor berkata dia terheret sama dalam kes itu susulan hubungan perniagaannya dengan Muhammad Adlan Berhan, yang juga dikehendaki SPRM.

Adlan berkahwin dengan anak kedua Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Nabilah.

“Saya percaya ada unsur politik dalam keseluruhan episod ini, yang amat malang.

"Saya seorang ahli perniagaan serta peguam bela dan peguam cara yang mempunyai hubungan perniagaan dengan ramai orang , dan saya terkejut kerana hubungan saya dengan (Adlan) menjadi sasaran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Peguam yang juga pengarah dan pemegang saham NERS Sdn Bhd (NERS) itu menyangkal dakwaan melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan.

Mansoor, 69, berkata, dia bukan pelarian walaupun dikehendaki SPRM.

Katanya, dia meninggalkan Malaysia secara sah, namun keadaan itu digunakan terhadapnya untuk menunjukkan dia bersalah.

"Saya menolak naratif palsu ini dengan tegasnya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan