Parti Hijau rayu Sultan Selangor tolak Amirudin sebagai MB

Malaysiakini
Parti Hijau merayu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Abdul Aziz Shah tidak melantik Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor bagi penggal kedua.

Setiausahanya Abdul Razak Ismail, berkata ini berikutan dakwaan kerosakan alam sekitar yang dilakukan oleh Amirudin di Selangor.

“Parti Hijau akan merayu ke bawah DYMM Tuanku Sultan Selangor untuk tolak Amirudin Shari dilantik semula sebagai menteri besar Selangor atas /bakal kerosakan hutan-hutan simpan di Selangor.

“Kita belum sentuh lagi macam mana projek laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masuk jauh ke dalam hutan negeri (State Park) di Hutan Simpan Hulu Gombak dan Serendah dan laluan kereta api menghala Pelabuhan Klang memasuki jauh ke dalam Hutan Simpan Raja Musa,” katanya di media sosial.

Sejak penubuhannya, parti Hijau lantang memperjuangkan isu alam sekitar dengan tumpuan khusus membabitkan isu perhutanan di Selangor.

Antara hutan yang didakwa dirosakkan itu, termasuk Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan Selatan, Hutan Simpan Bukit Cerakah, Hutan Simpan Bukit Lagong, Hutan Sempadan Hulu Selangor-Genting Highland dan Hutan Paya Gambut Sungai Panjang, Sabak Bernam.
Sebelum ini, Parti Hijau juga membantah projek pembangunan semula kompleks sukan di Shah Alam, dan projek melebarkan sungai, Gerbang Maritim Selangor.

Sementara itu, Abdul Razak memberitahu Malaysiakini, pihaknya akan mengutus surat rasmi kepada istana Selangor yang dijangka dihantar secepat mungkin hari ini.

Semalam, sumber dalaman PH memberitahu Malaysiakini bahawa tiga nama diserahkan kepada istana.

Selain Amirudin, nama Adun Seri Setia Fahmi Ngah dan Adun Tanjong Sepat Borhan Aman Shah dikatakan turut dihantar.

Bagaimanapun, sumber yang rapat dengan Anwar pula memberitahu hanya satu nama yang dihantar namun tidak menyatakan secara jelas siapakah calon itu.

Pada PRN 12 Ogos lalu, gabungan PH-BN kembali berkuasa selepas menang 34 daripada 56 kerusi DUN.

Mereka bagaimanapun hilang penguasaan dua pertiga dalam DUN susulan asakan kuat Perikatan Nasional (PN), khususnya di utara Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan