HarapanDaily.com
Permainan nombor tidak akan gugat lagi kerajaan Anwar – Penganalisis
SITI NUR ZAWANI
Seorang penganalisis politik berpendapat Kerajaan Perpaduan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan dapat digugat dengan ‘permainan nombor’ selepas kejayaannya menyatukan 19 parti politik di bawah pentadbirannya.
Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Dr Azmi Hassan berkata, sejak awal pentadbiran Kerajaan Perpaduan, percaturan nombor menjadi cabaran paling kuat apabila Perikatan Nasional mendakwa mempunyai cukup nombor dan sokongan untuk mengambil alih kerajaan Persekutuan.
Ia katanya berupaya mengganggu konsentrasi pentadbiran Anwar, namun beliau berjaya menanganinya dengan baik sekaligus meyakinkan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk duduk bersama Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut tidak menolak bahawa kerajaan akan bertahan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16.
“Cabaran (menyatukan 19 entiti politik) telah dilalui Anwar dengan sebaiknya. Sebab itu dia masih bertahan sampai hari ini.
“Dan adakah ia (kerajaan) akan terus bertahan? Ya, paling tidak empat tahun lagi sehinggalah PRU16. Kenapa saya berkata demikian adalah kerana keserasian 19 entiti itu, Datuk Seri Anwar dapat mengendalikannya
“Paling penting, tidak akan ada lagi percaturan, permainan nombor dari Perikatan Nasional selepas ini.
“Jika dahulu PN kata ada yang nak melompat ke PN, tapi akhirnya sekarang yang berlaku adalah sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.
Pada masa sama, Azmi Hassan menyifatkan kemampuan Anwar menjaga kestabilan politik dalam negara adalah antara pencapaian paling terbaik oleh pemimpin itu.
Ini kerana katanya, ia menjadi faktor utama kepada kejayaan menarik pelaburan asing ke dalam negara.
Mengulas pengumuman Mahiaddin yang tidak akan mempertahankan jawatannya selaku Presiden Bersatu, Azmi Hassan berkata parti itu akan mengalami krisis kepimpinan yang besar.
Beliau berkata, sokongan ahli Parlimen Bersatu kepada PMX bukan disebabkan peruntukan semata-mata tetapi disebabkan Bersatu semakin hilang hala tuju mereka
“Sedang berlaku krisis kepimpinan dalam Bersatu dan hilang hala tujunya. Mereka sekarang tidak dapat menjalankan tugas sebagai pembangkang yang baik.
“Jadi itu saya nyatakan, bila tak ada serangan daripada PN ini maka kerajaan Datuk Seri Anwar dan Kabinetnya boleh menumpukan perhatian untuk mentadbir negara,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan