Nora Mahpar dan Faiz Zainuddin
SHAH ALAM: Akar umbi Bersatu bimbang parti itu akan berpecah susulan perebutan jawatan presiden yang tidak akan dipertahankan Muhyiddin Yassin pada pemilihan tahun depan.
Beberapa perwakilan yang ditemui FMT juga gusar dengan nasib parti yang baru berusia tujuh tahun berkenaan tanpa dikemudi bekas perdana menteri itu.
Perwakilan dari Lipis Fareed Tarmizi berkata belum sampai masa Muhyiddin meninggalkan perjuangan parti itu dan beliau seharusnya kekal sehingga selepas PRU16.
Mengakui terkejut dengan pengumuman itu, beliau turut menggesa pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkenaan mempertimbangkan semula keputusannya berundur tahun depan.
“Kita minta bukan sebab tiada pelapis… ada ramai cuma bagi saya waktu tak sesuai untuk beliau berundur dalam keadaan Bersatu masih baharu.
“Kita bimbang akan berlaku perpecahan dalam parti kalau beliau tinggalkan sekarang, kalau boleh sekurang-kurangnya bertahan sehingga selepas PRU16,” katanya ditemui sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di IDCC, Shah Alam.
Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan parti tahun depan untuk memberi ruang kepada pemimpin pelapis.
Sementara itu, perwakilan dari Muar Anwar Asyraf Ismail turut menyatakan kebimbangan risiko perpecahan yang bakal memudaratkan potensi parti.
“Kita juga bimbang pihak lawan akan mengambil kesempatan untuk memancing lebih ramai Ahli Parlimen Bersatu,” katanya.
Siti Romawati Mat Daud, ketua penerangan Wanita Bersatu Jeli pula berpandangan tiada sebab untuk Muhyiddin atau lebih mesra dengan panggilan “Abah” untuk berundur.
“Beliau banyak jasa, malah berhempas pulas menjaga negara ketika Covid-19 melanda tiga tahun lalu.
“Malah beliau seorang pemimpin yang tidak terlibat dengan kontroversi.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan