Lelaki mati ditumbuk isteri

Agensi

New Delhi: Seorang lelaki maut selepas dia ditumbuk pada hidung oleh isterinya selepas dia enggan membawanya ke Dubai untuk bercuti sempena sambutan hari lahirnya, lapor portal The Times of India.

Dalam insiden mengejutkan itu, lelaki berusia 36 tahun terbabit meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut laporan, kejadian itu berlaku pada Jumaat di kediaman pasangan itu yang terletak di kawasan Wanavdi, Pune.

Mangsa dikenali sebagai Nikhil Khanna, seorang ahli perniagaan dalam industri pembinaan, melangsungkan perkahwinan dengan isterinya, Renuka, 38, enam tahun lalu.

Menurut pegawai kanan polis yang ditempatkan di balai Polis Wanavdi, pasangan itu bergaduh kerana Nikhil tidak membawa Renuka ke Dubai untuk meraikan hari lahirnya.

"Kejadian itu berlaku pada petang Jumaat. Mengikut siasatan, pasangan itu bergaduh kerana Nikhil tidak membawa Renuka ke Dubai untuk meraikan hari lahirnya dan tidak memberikan hadiah mahal pada hari jadi dan ulang tahunnya.

"Renuka juga kecewa dengan Nikhil kerana tidak memberikan sambutan yang menggalakkan terhadap hasratnya untuk pergi ke Delhi untuk menyambut hari lahir bersama beberapa saudara," katanya.

Pihak polis seterusnya memaklumkan bahawa semasa pergaduhan itu, Renuka menumbuk muka Nikhil.

"Kesan tumbukan itu sangat kuat sehingga hidung dan beberapa gigi Nikhil, patah. Dengan pendarahan yang banyak, Nikhil tidak sedarkan diri," katanya.

Sementara itu, polis mendaftarkan kes terhadap Renuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menahannya untuk siasatan lanjut.
-hmetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan