Rupanya Muhyiddin hanya bersandiwara untuk mendapatkan simpati para perwakilan

Silap-silap jawatan Setiausaha Agung akan segera dilucut

Shahbudin Husin 

Lepas solat Jumaat semalam, tidak lama selepas Mahiaddin Md Yasin mengumumkan hasrat mahu berundur dan tidak lagi mempertahankan jawatan Presiden Bersatu pada pemilihan tahun depan, saya tiba-tiba diberikan suatu maklumat bahawa semua itu hanya sandiwara
Kata pemberi maklumat itu, tindakan Mahiaddin itu bukan keputusan yang jujur, sebaliknya bertujuan untuk mendapatkan simpati para perwakilan, seterusnya membolehkan beliau terus kekal memimpin Bersatu.

Untuk meyakinkan saya, pemberi maklumat itu menambah, dalam ucapan perwakilan nanti, pasti akan kedengaran desakan dan rayuan agar Mahiaddin menarik balik keputusannya itu.

“Akhirnya, dalam ucapan penutup Mahiaddin, kononnya setelah mengambil kira desakan dan rayuan perwakilan, maka beliau setuju untuk menarik balik keputusannya itu.

“Ertinya, beliau ada lesen besar untuk terus mempertahankan lagi jawatannya dalam pemilihan parti pada awal tahun depan,” demikian kata pemberi maklumat itu.

Disebabkan itulah jugalah, saya tidak menulis apa-apa mengenai keputusan Mahiaddin enggan mempertahankan lagi jawatannya itu kerana ingin menunggu perkembangan selanjutnya berdasarkan maklumat yang saya terima itu.

Rupa-rupanya, tidak perlu menunggu sehingga ucapan penutup, kesudahan jalan cerita sandiwara telah pun berakhir lebih awal daripada yang dijangkakan.

Hanya berdasarkan ucapan beberapa perwakilan yang merayu Mahiaddin menimbang semula keputusannya, petang semalam tiba-tiba telah diadakan mesyuarat khas MPT Bersatu berkenaan isu tersebut.

Dipengerusikan Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu atau Peja, mesyuarat khas dan tergempar Bersatu petang semalam itu mengambil keputusan menolak keinginan Mahiaddin untuk berundur.

“Mesyuarat telah sebulat suara membuat ketetapan untuk menolak hasrat Mahiaddin untuk tidak mempertahankan jawatan beliau dalam pemilihan parti tahun depan.

“MPT sebulat suara berpendirian bahawa kepimpinan Mahiaddin masih diperlukan oleh parti dan negara,” kata Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin yang sebelum ini diura-urakan mahu melawan Mahiaddin dalam pemilihan parti tahun depan.

Dengan keputusan mesyuarat itu, tersenyum lebarlah Mahiaddin kerana sandiwaranya bukan saja berjaya dipentaskan, bahkan tiket telah “sold out” lebih awal lagi.

Dalam perkembangan terbaru pagi ini, menyusul keputusan mesyuarat khas petang semalam, Perhimpunan Agung Bersatu turut membuat ketetapan sebulat suara menolak hasrat Mahiaddin daripada melepaskan jawatannya pada pemilihan tahun depan.

Juga ditolak ialah usaha mencari pengganti bagi jawatan Presiden Bersatu sebagaimana disuarakan Mahiaddin semalam.

Petang ini, dalam ucapan penutupnya, barangkali dengan nada sebak tetapi gembira di dalam hati Tuhan saja yang tahu, Mahiaddin dengan gaya negarawan ulung pasti dengan besar hati mengatakan beliau kini tiada pilihan lain melainkan terpaksa akur dengan kehendak parti yang diputuskan melalui mesyuarat khas dan juga Perhimpunan Agung berkenaan kedudukannya.

Senang cerita, kekal dan menang tidak bertanding lagilah Mahiaddin sebagai Presiden Bersatu.

Dalam masa yang sama, musnahlah impian Hamzah untuk mengambil alih teraju kepimpinan Bersatu dan paling kecewa dalam hal ini tentulah para penyokong Ketua Pembangkang itu yang selama ini mengharapkannya mampu membawa nafas baru kepada parti itu.

Bersama mandat untuk kekal lagi mengetuai Bersatu, kiranya selepas ini ada terdengar apa-apa usaha daripada Hamzah untuk bertanding juga pada pemilihan tahun depan, silap-silap jawatan Setiausaha Agung yang sekarang disandangnya pun akan segera dilucutkan.

Akhir kata “Sadaqallahul Azim” sajalah buat Hamzah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan