Mahaizura Abd Malik
am@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Walaupun alami kecederaan selepas rumahnya dibedil bom Israel, Abu Ayesh Al Najjar tidak patah semangat untuk menyampaikan amanah rakyat Malaysia kepada penduduk yang memerlukan di Gaza, Palestin.
Berdasarkan video tular sejak malam kelmarin, Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) Cawangan Palestin yang juga graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu dilihat terbaring dan menerima beberapa jahitan akibat kecederaan pada bahagian kepalanya.
Dalam keadaan masih berlumuran darah, warga Palestin berusia 54 tahun itu masih tersenyum sambil mengucap salam kepada rakyat Malaysia dan memaklumkan beliau berada dalam keadaan baik.
"Jangan risau, saya OK. Alhamdulillah.
"Beberapa jam dari sekarang, saya akan keluar agihkan bantuan kamu (Malaysia)," katanya.
Seperti dirinya, katanya, penduduk Gaza juga tidak akan menyerah kalah walaupun dibom, berasa kesakitan dan berdepan pembunuhan beramai-ramai angkara rejim Zionis serta yakin Briged al-Qassam akan menghapuskan musuh.
"Insya-Allah, ramai akan tetap istiqamah. Rakyat Palestin akan tunjukkan kepada Israel.
"Cepat atau lambat kami akan dapat kemenangan," katanya.
Berkongsi detik pengeboman itu, Abu Ayesh berkata, dia dan keluarganya sedang tidur ketika serangan udara berlaku pada waktu Subuh kelmarin.
"Abang saya yang berusia 67 tahun. Saya tak tahu apa nasib mereka (ahli keluarga lain)," katanya.
Selain Abu Ayesh, anak saudaranya Imad An-Najar, antara ahli keluarga yang ditemui selamat selepas rumah mereka dibom itu.
Lebih menyentuh hati, Imad yang turut cedera berjaya keluar dari celahan runtuhan rumah mereka sambil memegang erat al-Quran bersamanya.
Pembunuhan beramai-ramai di Gaza masih berterusan apabila Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menolak gencatan senjata sekali gus setiap jam dianggarkan 15 orang maut termasuk enam daripadanya kanak-kanak dan lima wanita akan temui ajal.
Setakat kelmarin, Kementerian Kesihatan Gaza merekodkan angka kematian mencecah 10,328 orang dengan 2,350 mangsa lagi dilaporkan hilang termasuk 1,300 kanak-kanak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan