Reuters
Beirut: Seorang ahli parlimen Hizbullah pada Selasa menegaskan pejuang kumpulan itu akan memberi tindak balas 'berganda' terhadap serangan rejim zionis Israel yang mengorbankan tiga kanak-kanak dan nenek mereka di selatan Lubnan.
Kenyataan itu menggambarkan keadaan tidak menentu di sempadan Israel-Lubnan apabila pertempuran antara tentera zionis dan pejuang Hizbullah yang disokong Iran mencetuskan kebimbangan perang serantau lebih luas ketika Israel menyerang Semenanjung Gaza.
"Penentangan (terhadap rejim zionis) akan bertindak balas dua kali ganda kepada sebarang pencerobohan yang menyasarkan orang awam," kata Ali Fayyad pada majlis pengebumian empat warga Lubnan yang terbunuh dalam serangan itu pada Ahad.
Pihak berkuasa Lubnan berkata, serangan tentera zionis itu menyasarkan kereta yang dinaiki keluarga itu pada Ahad.
Tentera Israel pula berkata, pasukannya bertembung dengan kenderaan di Lubnan yang dikenal pasti sebagai pengangkutan disyaki untuk musuh mereka dan sedang meneliti laporan terdapat orang awam di dalam kenderaan itu.
Ketika majlis pengebumian, ahli keluarga meratapi kehilangan empat korban bersaudara membabitkan kanak-kanak berusia antara 10 hingga 14 tahun itu dan menyatakan mereka syahid.
Pertempuran di sempadan Lubnan-Israel sudah berlanjutan sejak 2006 dan kian tegang apabila Israel menyerang sekutu Hizbullah, pejuang Hamas di Gaza.
Sejak 7 Oktober lalu, seramai 1,400 warga Israel terbunuh, manakala lebih 10,000 rakyat Palestin terkorban akibat konflik yang berlanjutan selama sebulan.
Israel pada Isnin berkata, pihaknya menyerang Hizbullah sebagai tindak balas kepada serangan roket ke bandar utara Israel.
Pertempuran di sempadan Lubnan mengorbankan lebih 60 pejuang Hizbullah dan 10 orang awam, kata pegawai keselamatan Lubnan. Sekurang-kurangnya tujuh tentera Israel dan seorang awam terbunuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan