Polis: Budak 12 tahun antara 3 wanita mangsa eksploitasi seks

Juwan Riduan
bhnews@bh.com.my

KENINGAU: Polis menyelamatkan tiga wanita termasuk kanak-kanak berusia 12 tahun yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan eksploitasi seks susulan penahanan tiga lelaki dalam dua serbuan berasingan, kelmarin.

Serbuan dilakukan bermula jam 8.11 malam pada 2 Oktober hingga 12.30 tengah malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata pasukan serbuan menjalankan Op Pintas di sekitar daerah ini dan mengesan aktiviti pemerdagangan orang dan eksploitasi seks.

Serbuan pertama di sebuah inap desa di daerah ini menyelamatkan dua wanita berusia 30 dan 12 tahun. Ketika serbuan itu juga, polis menahan dua lelaki berusia 44 dan 15 tahun termasuk berperanan sebagai 'runner' dan 'transporter'.

"Seterusnya, serbuan kedua dilakukan di sebuah hotel di Jalan Lintas Plaza, Kota Kinabalu dan menyelamatkan seorang lagi wanita berusia 19 tahun dan pasukan serbuan turut menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 23 tahun," katanya.

Yampil berkata, susulan serbuan itu polis merampas wang tunai RM785, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama dan beberapa keping kondom.

"Siasatan mendapati seorang daripada tiga suspek berperanan sebagai 'runner' dan 'transporter' untuk menghantar mangsa sekiranya ada pelanggan di kawasan berhampiran.

"Dua lagi suspek pula berperanan mencari pelanggan melalui aplikasi MiChat," katanya.

Menurutnya, modus operandi semua suspek adalah menjadikan satu-satu kawasan sebagai transit untuk mengelak kegiatan mereka daripada dikesan pihak berkuasa.

"Mereka ini akan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain sebagai tempat beroperasi.

"Semua suspek direman selama lima hingga tujuh hari mengikut Seksyen 12/14 Akta Anti Pemerdagangan Manusia (ATIPSOM) 2007," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan