SITI NUR ZAWANI
Susulan pengumuman kerajaan untuk mengapungkan harga ayam bermula 1 November, banyak desakan untuk kerajaan menarik keputusan itu susulan dakwaan harga ayam akan naik mendadak sehingga membebankan pengguna.
Bagaimanapun berdasarkan perkongsian rata-rata pengguna di media sosial, harga ayam di kebanyakan premis perniagaan dijual lebih rendah dari harga siling.
Mereka dilihat rancak memuat naik perkembangan semasa harga terkini ayam bagi memantau jika berlaku kenaikan harga makanan asas itu selepas penamatan sepenuhnya pemberian subsidi.
Melalui pemerhatian, ramai yang tertanya-tanya bagaimana harga ayam boleh jatuh lebih rendah berbanding jangkaan sesetengah pihak.
“Apa yang sebabkan harga ayam turun agak mendadak selepas harga ayam diapungkan tanpa subsidi 3 hari lepas?
“Harga siling bulan lepas RM9.40. Ada nampak tempat jual ayam RM6.99/kg. Ada apa-apa yang kita tak tahu ke?,” ciap seorang pengguna X, Faisal Rahim.
Penyokong Perikatan Nasional pula ketika ini kuat disindir berikutan harga ayam tidak melonjak seperti yang mereka mahukan.
Mereka disindir “sedang menderita kerana terpaksa beli harga ayam yang rendah” dan tidak kurang menganggap walaun dan “golongan lebai” dalam Pas sebagai anti dengan harga ayam murah.
“Gegak gempita alam semesta walaun memaki hamun kerajaan kerana tarik subsidi ayam.
“Mereka kata harga ayam akan naik melambung. Mesti walaun hairan kan. Kenapa tarik subsidi tapi harga ayam jadi lagi murah?,” kata warganet sinis.
“Apalah harga ayam murah. Sepatutnya bukan mahal ke? Murah 10 hari diam, nanti mahal 1 hari dia punya kecoh,” kata pula pengguna Facebook Muhammad Syafiq Azmi sambil memuat naik paparan harga ayam setakat semalam iaitu RM7.59 sekilogram.
Begitupun tidak dapat menafikan wujud kebimbangan segelintir pengguna berkenaan harga ayam yang terlalu rendah.
Ada yang menjangkakan, harga ayam akan lebih murah pada satu atau dua minggu ini sebelum ia naik lebih mahal dalam tempoh beberapa minggu.
Kerajaan sebelum ini memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga secara mendadak ke atas bahan mentah itu dan memastikan bekalan sentiasa mencukupi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerajaan telah mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.8 bilion bagi menampung kos ayam dan telur sejak Februari 2022.
Mohamad berkata rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNSH) sedang memperhebat usaha pemantauan bagi memastikan bekalan harga ayam tidak naik mendadak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan