Syed Saddiq dihukum penjara 7 tahun, denda RM10 juta, 2 sebatan

Hidir Reduan Abdul Rashid

Bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijatuhkan hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Hukuman itu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman bersalah terhadap empat pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Pemuda Bersatu (Armada) berjumlah RM1.12 juta.

Hakim Azhar Abdul Hamid bagaimanapun membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan hukuman sementara rayuan dibuat di Mahkamah Rayuan.

Perbicaraan bermula 21 Jun 2022 dengan seramai 29 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan.

Pada 14 Mac lalu, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil Syed Saddiq dan tiga lagi saksi - ketua penerangan Bersatu Ulya Aqamah Husamudin serta Mohamed Amshar Aziz dan Siti Nurul Hidayah. Mohamed Amshar dan Siti Nurul Hidayah adalah bekas pegawai khas dan setiausaha sulit Syed Saddiq.

Antara saksi pendakwan pula adalah ibu bapa Syed Saddiq, iaitu Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff, bekas pembantu bendahari Armada Rafiq Hakim Razali serta tiga pegawai penyiasat SPRM, Nurul Hidayah Kamarudin, Syahmeizy Sulong dan Asbi Munip.

Pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharudin Wan Ladin and Mohd Afif Ali manakala peguam Gobind Singh Deo mewakili Syed Saddiq.

Pada 28 Oktober tahun lalu, mahkamah mengarahkan presiden Muda itu untuk membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atasnya.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq, yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Ia didakwa dilakukan di CIMB Bank Bhd, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2 pada 6, 2020.

Untuk pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan wang RM120,000 untuk diri sendiri, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Ia didakwa dilakukan di Malayan Banking Bhd, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya - antara 8 dan 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman lima tahun penjara, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut dihadapkan dengan dua pertuduhan pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 - didakwa hasil daripada kegiatan haram - dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Ia didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Baru, pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang membawa hukuman 15 tahun penjara dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai terlibat, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan