Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Muhammad Khairuddin dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku cabul dua beradik dalam bas ekspres. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Seorang duda mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan dua beradik lelaki dalam bas ekspres dipandunya, minggu lalu.
Muhammad Khairuddin Kassim, 38, membuat pengakuan salah itu sebaik kedua-dua pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 16 tahun di tempat duduk dalam bas ekspres yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, antara jam 11 pagi hingga 1 petang, 17 Disember lalu.
Pertuduhan kedua pula, dia turut didakwa melakukan perkara sama terhadap kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang juga adik mangsa pertama di tempat rehat pemandu di belakang bas dengan kejadian berlaku pada tarikh dan masa sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan juga sebatan bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah supaya tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin memandang kesalahan ini sangat serius membabitkan dua beradik.
Namun, selepas mendengar hujahan itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Mahkamah juga menetapkan 10 Januari depan untuk pihak pendakwaan menyediakan fakta kes serta menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.
Dalam kejadian itu, dua beradik dilaporkan menaiki bas di Terminal Bas Larkin, Johor Bahru untuk ke Kuala Lumpur.
Kedua-dua beradik duduk bersebelahan di tempat penumpang sebelum tertuduh meminta adiknya bangun, beralih ke tempat rehat pemandu di belakang.
Kesempatan itu diambil tertuduh untuk melakukan perbuatan keji terhadap kedua-dua mangsa sebelum mereka membuat laporan polis.
Kejadian berlaku ketika bas terbabit dalam perjalanan ke bandar ini untuk mengambil penumpang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan