Kelantan: Ibu nampak bayi terkapai-kapai dalam paya

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang bayi berusia 15 bulan dipercayai lemas selepas dilihat ibunya terkapai-kapai dalam paya, pada kejadian di Simpang Empat Salam, Rantau Panjang, tengah hari tadi.

Ibunya berusia 21 tahun, berkata sebelum kejadian dia membawa anak lelaki tunggalnya itu ke kedai milik saudara untuk membantu membasuh premis tersebut yang dilanda banjir, beberapa hari lalu.

Katanya, dalam sekelip mata bayinya hilang daripada pandangan dan terus bergegas mencari di kawasan sekeliling, namun hanya sempat melihat anaknya itu dalam keadaan terkapai-kapai dalam air.

“Saya cuba membantu dengan menghulurkan tangan untuk menarik anak saya namun dia mula tenggelam dan hilang. Saya kemudian memanggil sepupu untuk membantu, namun kami tidak berjaya.

“Saudara saya kemudian segera menelefon pihak bomba untuk meminta bantuan. Semoga satu-satunya anak saya ini segera ditemui tidak kira dalam keadaan apa sekali pun,” katanya menurut Harian Metro.

Menurut laporan itu, ibu mangsa tidak biasa dengan kawasan kejadian.

Sementara itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba Rantau Panjang digegaskan ke kawasan kejadian, namun mangsa masih belum ditemukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan