Pemilihan Pemuda Amanah: Sumber dakwa kertas undi cacat, perwakilan tak sah

Malaysiakini 

Kertas undi cacat dan perwakilan mendaftar selepas tarikh tutup antara bantahan diterima Jawatankuasa Pemilihan bagi Konvensyen Pemuda Amanah Nasional yang berlangsung minggu lalu.

Menurut sumber dalaman pemuda Amanah, kesilapan teknikal paling ketara melibatkan kesalahan nama calon pada kertas undi e-voting.

Katanya, nama calon bagi jawatan speaker, timbalan speaker dan dua juruaudit telah disenaraikan bersama senarai calon bagi ahli Jawatankuasa Pimpinan dan ia mengakibatkan kekeliruan kepada perwakilan ketika mengundi.

"Kejadian ini sangat 'fatal' kerana menafikan hak calon untuk dipilih dan hak perwakilan yang mencalonkan mereka," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Selain itu, dia mendakwa terdapat kawasan yang mendaftarkan nama perwakilan selepas tarikh pendaftaran yang dinyatakan pada notis mesyuarat.

Jika terbukti benar, dia berkata undian oleh perwakilan tersebut boleh dikira tidak sah dan secara tidak langsung mempengaruhi jumlah undian yang diraih semua calon pada pemilihan tersebut.

Dalam sistem pemilihan Amanah, perwakilan boleh mengundi calon bagi jawatan speaker, timbalan speaker, juruaudit serta 27 ahli jawatankuasa. Kemudian 27 ahli jawatankuasa akan membuat pilihan untuk lima jawatan tertinggi.

Pada pemilihan 16 Dis lalu, senator Hasbie Muda mempertahankan jawatan ketua pemuda bagi sesi 2023-2026 setelah meraih undi tertinggi dengan 387 undi, manakala Adun Batu Tiga Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid dilantik selaku timbalan ketua pemuda.

Tiga naib ketua pemuda adalah masing-masing Faris Arriffin, Ammar Atan dan Hazmi Hassan.

Mengulas lanjut, sumber itu mendakwa masalah teknikal seperti paparan skrin yang terpadam selama enam minit ketika pengumuman keputusan serta keputusan undian tidak diumum secara masa nyata (real time).

"Tragedi penangguhan ini menimbulkan pelbagai keraguan, reaksi negatif dan spekulasi terhadap kecekapan dan ketelusan Jawatankuasa Pemilihan Nasional," katanya lagi.

Dia juga membangkitkan keraguan ekoran proses pengundian yang didakwa tertangguh lebih satu jam.

"Saya yakin dalam tempoh penangguhan yang tidak dikawal, risiko berlakunya jual beli dan lelong-melelong access key (untuk akses kepada sistem e-voting) antara perwakilan dengan pihak tertentu tidak boleh diambil ringan Jawatankuasa Aduan.

"Mungkin berlakunya pengundian pihak ketiga kerana access key merupakan 'barang panas' pada malam pemilihan," dakwanya lagi.

'Tunggu keputusan setiausaha agung'

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Dr Zulqarnain Lukman ketika dihubungi berkata setakat ini pihaknya belum membuat keputusan berkenaan aduan yang diterima memandangkan tempoh bantahan masih berjalan sehingga 25 Disember ini.

"Semalam, kita baru mesyuarat jawatankuasa aduan, malam ini baru mesyuarat jawatankuasa kerja untuk bentang aduan kepada jawatankuasa nasional untuk sebarang keputusan.

"Setakat ini, hampir separuh siasatan sudah berjalan tapi belum ada apa-apa keputusan...tunggu keputusan diumumkan setiausaha agung," katanya kepada Malaysiakini.

Zulqarnain berkata pihaknya menerima banyak bantahan berhubung pemilihan sayap pemuda, selain 12 bantahan berkenaan pemilihan Wanita Muda Amanah (Warda).

Ketika ditanya berkenaan kemungkinan pemilihan diadakan semula, Zulqarnain tidak menolak perkara itu namun tidak mahu memberikan sebarang ulasan lanjut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan