Bhonline
PENAHANAN sekurang-kurangnya 1,100 warga asing dalam operasi khas membabitkan lebih 1,000 anggota dan pegawai polis daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) di lokasi diberi jolokan 'mini Dhaka' di Jalan Silang di ibu negara, semalam, mendedahkan kewujudan koloni warga asing di kawasan tumpuan utama negara.
Operasi berkenaan dilakukan selepas pihak berkuasa menerima laporan dan aduan rakyat tempatan yang berasa rimas serta tidak selesa apabila berkunjung ke destinasi tumpuan negara kerana kawasan itu dikuasai warga asing sehingga ada yang semakin 'besar kepala' terhadap rakyat tempatan.
Hakikatnya, kewujudan koloni khas warga asing ini sudah tidak asing lagi kerana media pernah beberapa kali mendedahkan dan melaporkannya seperti di Selayang yang dikuasai warga Rohingya, warga China dan Korea turut didapati semakin bercambah di sekitar Ampang, Cheras dan Kuchai Lama, Puchong (Indonesia dan Bangladesh), selain Nilai 3 (Pakistan).
Ia termasuk kewujudan koloni warga India, Nepal, Arab dan Afrika di sekitar Lembah Klang. Di setiap koloni ini, warga asing terbabit membina kemudahan awam sendiri seperti surau, kedai runcit, restoran dan sekolah sekali gus membuktikan mereka sudah bertapak lama di Malaysia.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid memeriksa warga asing yang berjaya ditahan pada sidang media mengenai Ops Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur semalam. Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam telah melaksanakan satu serbuan dan pemeriksaan sekitar Jalan Tun Siew Sin bertujuan membanteras pelbagai jenayah yang melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). - Foto BERNAMA
Dalam isu ini, apa yang ingin dibangkitkan adalah bagaimana warga asing terbabit mampu membentuk satu koloni dikuasai mereka dan boleh pula terbabit dalam pelbagai aktiviti ekonomi seperti perniagaan kedai runcit, kedai telekomunikasi, restoran, pembinaan dan perkhidmatan lain.
Anehnya kebanjiran warga asing ini seperti dipandang sebelah mata pihak berkuasa sedangkan kewujudan koloni mereka amat meresahkan orang tempatan. Memang benar negara turut memerlukan tenaga kerja asing bagi memenuhi keperluan pekerja, namun mereka sepatutnya tidak dibenarkan aktif dalam aktiviti ekonomi domestik.
Kewujudan koloni warga asing di bandar atau kawasan strategik ini sudah tentu mewujudkan kesan rantaian negatif seperti meningkatnya masalah atau gejala sosial, kes jenayah dan lebih parah lagi mampu mencetuskan pergaduhan antara warga asing dan tempatan atau sesama warga asing.
Warga asing yang sudah menjadi 'otai' di sini turut tidak menghormati orang tempatan sehingga berani menimbulkan masalah seperti gemar bergaduh, mabuk dan berkumpul beramai-ramai membuat bising mengganggu ketenteraman warga tempatan.
Dalam hal ini, pihak berkuasa khasnya Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia dan Imigresen perlu meningkatkan operasi pemutihan koloni warga asing di lokasi dikenal pasti setiap masa, bukan bermusim bagi mengelak negara terus dibanjiri golongan itu dan akhirnya menguasai bandar atau tertentu sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada orang tempatan.
Kerajaan tidak wajar berlembut lagi dalam mengambil tindakan terhadap warga asing yang semakin berani mengambil kesempatan dan peluang menguasai lokasi strategik tertentu di seluruh negara sehingga mengganggu kehidupan warga tempatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan