FARAHWAHIDA AHMAD
MUHAMMAD SAID di tenangkan oleh beberapa ahli pasukan bomba selepas berjalan masuk ke dalam Sungai Muar dalam keadaan tidak sedar berhampiran Jeti Marina, Muar.
MUAR – Seorang remaja lelaki berjalan masuk ke dalam sungai seperti dipukau tanpa menghiraukan pekikan dan panggilan orang ramai pada waktu maghrib yang menghalang tindakannya di Jeti Marina, di sini dua hari lalu.
Menurut Ketua Balai Bomba Muar, Timbalan Penguasa Bomba II Shahrizal Mokhtar, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada ahad lalu kira-kira pukul 7.32 petang.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan dari orang awam mengenai cubaan bunuh diri. Setibanya di tempat kejadian, pihak bomba mendapati mangsa berada di daratan dan sudah diselamatkan oleh ahli keluarganya.
“Menurut orang ramai di tempat kejadian, remaja terbabit masuk ke dalam sungai dengan berjalan sendiri dan kemudian berhenti apabila merasa air sungai pada aras yang dalam. Mangsa bernasib baik kerana sewaktu kejadian air sedang surut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Shahrizal, mangsa Muhammad Said Nordin, 19, dipercayai datang ke Muar bersama ahli keluarga dari Simpang Renggam menghadiri kenduri kahwin.
Ujarnya, pihak bomba turut bertanya kepada remaja berkenaan keadaan dirinya namun mangsa hanya mendiamkan diri tetapi dalam keadaan sedar serta waras.
“Mangsa berkemungkinan mengalami masalah kemurungan sehingga bertindak demikian. Pihak bomba menasihatkan keluarga mangsa untuk membawa mangsa mendapatkan rawatan lanjut ke hospital bagi mengenal pasti tahap kemurungan serta kesihatan remaja berkenaan.
“Ambulans tiba di tempat kejadian dan membawa mangsa ke hospital berdekatan,”katanya.
Terdahulu, tular di media sosial sebuah video berdurasi satu minit 14 saat memaparkan seorang lelaki berada di dalam Sungai Muar di waktu senja seolah-olah telah dipukau.
Seramai 11 orang anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian dan operasi ditamatkan kira-kira pukul 8.03 malam hari yang sama. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan