Guru berusia 28 tahun lakukan amang seksual 4 pelajar SPM ditahan

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Ampang Jaya: Tindakan seorang guru yang melakukan amang seksual ke atas empat pelajar yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengundang padah apabila dia ditahan polis, kelmarin.

Setakat kini, polis sudah menerima empat laporan polis membabitkan pelajar lelaki berusia 16 hingga 17 tahun selepas guru lelaki berusia 28 tahun didakwa melakukan perbuatan terbabit.

Menurut sumber, perbuatan itu dipercayai dilakukan di dalam kawasan sekolah dan di beberapa tempat di daerah ini.

Katanya, suspek mengajar remaja terbabit sejak tahun lalu.

"Suspek juga dikatakan ada menghantar pesanan WhatsApp berbaur lucah kepada mangsa.

"Bagimanapun perbuatan itu terbongkar selepas mangsa tampil membuat laporan polis kelmarin dan semalam ke atas suspek," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Setakat ini kita sudah menerima empat laporan polis membabitkan empat mangsa berusia 16 hingga 17 tahun.

"Pelajar ini ada yang juga menduduki SPM di mana suspek adalah seorang guru di sekolah terbabit yang sudah ditahan," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Hussein berkata, suspek direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan