Penemuan rangka di rumah terbiar milik Bella?

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Lokasi penemuan mayat di rumah sewa terbiar Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, hari ini. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Misteri kehilangan ibu tunggal, Mila Sharmila Samsusah, 32, bakal terungkai susulan penemuan rangka manusia tidak sempurna di rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rangka itu ditemui pada jam 2 petang selepas dipandu seorang suspek.

Menurutnya, siasatan ke lokasi mendapati terdapat pakaian ditemui pada rangka terbabit.

"Keluarga Bella sudah dimaklumkan mengenai perkara ini, namun kita belum dapat mengesahkan sama ada ia rangka itu milik wanita terbabit," katanya pada sidang media di lokasi.

Kamarul Zaman berkata, hasil siasatan polis selama 36 hari daripada semua sudut membawa kepada penahanan suspek utama hari ini.

"Penahanan suspek utama kemudiannya dipandu ke lokasi sebelum rangka itu ditemui dalam rumah terbiar.


Lokasi penemuan mayat di rumah sewa terbiar Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, hari ini. FOTO Alias Abd Rani

"Polis sudah mengambil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada kakak dan ibu Bella untuk mengesahkan sama ada rangka itu milik wanita terbabit atau sebaliknya.

"Pada masa sama, polis akan cuba mendapatkan khidmat pakar pergigian untuk memastikan bahawa rangka itu adalah mangsa terbabit (Bella).

"Pengecaman itu bergantung pada DNA paling lewat pun sebulan namun kita perlu segerakan," katanya sambil memaklumkan rangka itu dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk dianalisa.

Bella yang dilaporkan hilang pada malam 14 Disember lalu selepas keluar ke kedai dobi bersama teman lelakinya.

------

'Saya harap rangka itu bukan Bella' - Kakak

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Noraini (kanan) dan Norhisham (kiri) yang tiba di lokasi penemuan rangka di Kampun Batu 7, Tongkang Pechah, petang tadi. FOTO Alias Abd Rani
Noraini (kanan) dan Norhisham (kiri) yang tiba di lokasi penemuan rangka di Kampun Batu 7, Tongkang Pechah, petang tadi. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: "Saya harap rangka itu bukan Bella," itu reaksi Norhisham Samsusah, 36, susulan penemuan rangka bersama pakaian di dalam rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, dekat sini, petang tadi.

Norhisham adalah kakak kepada Mila Sharmila, 32, yang hilang sejak 14 Disember lalu namun sehingga kini belum ditemui.

Dia ditemani ibunya, Noraini Salleh, 55, serta beberapa ahli keluarga lain tiba di lokasi pada jam 8 malam untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penemuan rangka itu.

Katanya, hatinya agak berat untuk menidakkan penemuan rangka itu memandangkan suspek yang menunjukkan lokasi adalah individu paling dekat dengan Bella.

"Kalau boleh itu (rangka) bukan Bella, saya harap sangat Allah makbul doa kami," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Noraini berkata, seandainya rangka itu milik anaknya, dia reda walaupun terlalu berat untuk menerima kenyataan.

Namun, katanya, mereka terbabit dalam kes ini perlu mendapat hukuman setimpal demi keadilan untuk keluarganya.

"Saya boleh maafkan pelaku tapi dia tidak boleh terlepas hukuman. Kami harap jika benar rangka itu milik Bella, kami perlu mendapat keadilan sewajarnya," katanya.

Petang tadi, polis menemui rangka dalam keadaan tidak sempurna di rumah sewa terbiar susulan penahanan seorang suspek utama.

Difahamkan, lelaki itu ditahan dipercayai individu paling rapat dengan Bella, sekali gus dipandu ke lokasi penemuan rangka.

Lelaki itu adalah suspek utama sepanjang kehilangan Bella yang memasuki hari ke-36, hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan