Kelantan: Sah Sultan Kelantan tarik balik gelaran Agus

N Faizal Ghazali

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sah menarik balik gelaran darjah kebesaran Setia Mahkota Kelantan yang dikurniakan kepada bekas ketua pengarah Jabatan Komunikasi Korporat (J-Kom) Mohammad Agus Yusoff.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha kerajaan negeri Kelantan Nazran Muhammad kepada Malaysiakini sebentar tadi setelah beberapa hari maklumat itu tular.

"Seperti diwartakan," katanya ringkas ketika menjawab soalan portal ini melalui pesanan teks.

Agus bagaimanapun boleh terus menggunakan gelaran “Datuk” kerana turut mempunyai gelaran daripada negeri lain, iaitu Darjah Indera Mahkota Pahang.

Menurut warta kerajaan bertarikh 28 Disember itu, penarikan balik gelaran dari Kelantan itu berkuat kuasa pada 2 Disember lepas, kira-kira sebulan lalu.

Tiada sebab dinyatakan.

Agus, bekas ahli akademik yang menyertai kerajaan, sebelum ini terpalit dalam kontroversi dakwaan berbual lucah dengan pekerja baru J-Kom Abdul Wahab Abd Kader Jailani.

Kertas siasatan polis terhadap anak Kelantan itu sudah berada di tangan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk diputuskan sama ada akan dituduh atas kesalahan gangguan seksual di mahkamah.

Agus dan Wahab sebelum ini pernah tampil dalam sidang media bersama, mendakwa video itu disunting.

Malaysiakini telah menghubungi Agus bagi mendapatkan komennya melalui panggilan telefon tetapi tidak diangkat.

Dia juga tidak menjawab mesej Whatsapp Malaysiakini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan