Utusanonline
MONYET rhesus Retro dihasilkan melalui penggantian trofoblas. - AFP
BEIJING: Sekumpulan saintis di China mengumumkan kejayaan mengklonkan monyet jenis rhesus yang pertama dengan menggunakan teknik baharu.
Monyet berusia dua tahun yang diberi nama Retro, dilaporkan berada dalam keadaan sihat.
Menurut pasukan penyelidik, Retro diklonkan dengan mengubah proses yang mencipta biri-biri bernama Dolly sebelum ini.
Dilaporkan, haiwan primat terbukti sangat sukar untuk diklon.
Oleh itu, para saintis mengatasi kegagalan bertahun-tahun itu dengan menggantikan sel klon yang akan menjadi plasenta dengan sel dari embrio biasa.
Pasukan penyelidik berharap teknik baharu itu akan membawa kepada penghasilan monyet rhesus sama yang boleh dieksperimen untuk penyelidikan perubatan.
Sejak pengklonan biri-biri Dolly menggunakan teknik pemindahan nuklear sel somatik (SCNT) pada tahun 1996, lebih 20 haiwan yang berbeza termasuk anjing, kucing dan lembu dicipta menggunakan proses itu.
Bagaimanapun, dua dekad kemudian, saintis berjaya mengklonkan haiwan primat pertama menggunakan teknik SCNT.
Sepasang kera yang sama bernama Hua Hua dan Zhong Zhong dicipta menggunakan teknik SCNT oleh pasukan penyelidik diketuai oleh Qing Sun dari Institut Neurosains Akademi Sains China di Shanghai pada tahun 2018.
Namun, kejayaan itu hanya mengakibatkan kelahiran hidup kurang daripada dua peratus percubaan.
Malah, Qing Sun berkata, pihaknya juga pernah mengkaji secara meluas mengapa usaha sebelum ini untuk mengklon monyet rhesus menemukan kegagalan.
Dalam percubaan awal, seekor monyet, daripada 35 janin yang diimplan, dilahirkan dalam keadaan hidup tetapi mati dalam tempoh kurang sehari.
Jelas Qing Sun, antara `masalah utama’ dikenal pasti adalah plasenta embrio klon menunjukkan keabnormalan berbanding plasenta dari persenyawaan in vitro.
Oleh itu, para penyelidik menggantikan sel yang kemudian menjadi plasenta iaitu dikenali sebagai trofoblas, dengan sel daripada embrio yang sihat dan tidak diklon.
Sel trofoblas menyediakan nutrien kepada embrio yang sedang membesar, serta bertukar menjadi plasenta yang membekalkan oksigen dan bantuan sokongan hidup lain kepada janin.
Tambah Qing Sun, teknik itu meningkatkan kadar kejayaan pengklonan menggunakan SCNT dan membawa kepada kelahiran Retro.
Pada tahun 1999, monyet rhesus bernama Tetra diklonkan menggunakan teknik berbeza yang dikenali sebagai pembelahan embrio.
Namun, teknik yang lebih ringkas ini hanya boleh menghasilkan empat klon pada satu masa. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan