Malaysiakini
Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret yang menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap seorang wanita warga Indonesia kerana mencabul seorang wanita tempatan di sebuah tandas.
Tertuduh yang dikenali sebagai Ita juga kekal didenda sebanyak RM3,000 dan jika gagal membayar denda berkenaan, dia boleh dihukum dengan tambahan penjara selama 12 bulan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Fatimah Talib, berkata fakta kes menunjukkan tertuduh mencabul kehormatan dengan menyentuh punggung, kemaluan dan payudara mangsa berusia 29 tahun itu.
Menurutnya, mahkamah mengambil kira perbuatan tersebut merupakan jenayah serius dan menjatuhkan maruah, selain menyebabkan trauma kepada mangsa.
"Mahkamah menimbangkan faktor rayuan, hujahan pihak pendakwaan, keseriusan kesalahan dan kepentingan awam dalam menentukan hukuman ke atas tertuduh.
"Kesalahan tertuduh mengaibkan mangsa dan mahkamah perlu memberi hukuman berbentuk pengajaran supaya tidak diulangi pada masa hadapan.
"Hukuman penjara selama empat tahun dari tarikh tangkap (12 Jun 2023) dan denda RM3,000 adalah setimpal, munasabah serta berpatutan dengan kesalahan dilakukan tertuduh terhadap mangsa," katanya dalam alasan penghakiman penuh minggu lalu, lapor Berita Harian.
Mahkamah Majistret memutuskan hukuman itu selepas Ita menukar pengakuan kepada bersalah pada 15 Ogos tahun lalu, namun memfailkan rayuan pada hari sama.
Siti Fatimah berkata, hukuman itu selaras dengan Seksyen 354 Kanun Keseksaan untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat secara amnya.
"Mahkamah juga mengambil kira bahawa tertuduh terkecuali daripada sebatan, maka hukuman terbabit adalah setimpal," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan